
Ahli G25, Hishamudin Yunus berkata, langkah itu perlu kerana ketika ini tidak jelas hal berkaitan sekolah agama di bawah bidang kuasa kerajaan pusat atau negeri.
Beliau memberi contoh 30 kes kebakaran membabitkan sekolah tahfiz yang mengorbankan berpuluh nyawa dalam beberapa tahun ini.
“Pendidikan ialah hal persekutuan, tetapi Islam ialah hal kerajaan negeri. Di sini, kita bercakap mengenai (sekolah) tahfiz yang merupakan pendidikan agama.
“Jadi, ini ialah kawasan samar-samar – adakah ia terletak di bawah persekutuan sebagai hal pendidikan atau di bawah kerajaan negeri sebagai Islam?
“Sudah sampai masanya untuk kerajaan negeri dan persekutuan duduk dan berbincang untuk kali terakhir siapa yang bertanggungjawab ke atas pendidikan agama di negara ini.
“Jika ia memutuskan ia patut di bawah kerajaan negeri, maka Perlembagaan perlu dipinda untuk menjadikannya jelas yang hal itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya dalam forum sempena pelancaran kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” hari ini.
Hishamudin yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkata, secara peribadi beliau berpendapat semua hal berkaitan pendidikan, termasuk sekolah agama perlu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah menganggap ia berkuasa ke atas perkara itu kerana ada undang-undang negeri yang mewajibkan kumpulan agama berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
“Kerajaan persekutuan harus bertanggungjawab mengawal tahfiz, tapi saya rasa itu tidak berlaku.”
Forum hampir 4 jam yang turut dihadiri pengasas bersama Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar dan ahli akademik Mohamed Azam Mohamed Adil.
Tahun lalu, seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang dihantar ke sebuah sekolah tahfiz tidak berdaftar di Temerloh, maut dengan kesan lebam di badannya kerana didakwa dipukul pelajar lain.
Ramai yang mendakwa pihak berkuasa kurang pemantauan ke atas sekolah tahfiz susulan beberapa kemalangan dan kes penderaan.
Ia berlaku 2 tahun selepas kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang meragut nyawa 21 pelajar dan 2 guru.
Lima bulan sebelum kebakaran itu, kematian pelajar berusia 11 tahun, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi mencetuskan desakan untuk Putrajaya memperketatkan kawalan ke atas sekolah agama di seluruh negara, susulan dakwaan penderaan dan bangunan tidak selamat.