
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 479 notis kesalahan dikeluarkan di Johor, diikuti Selangor (474) dan Pahang (438).
“Sebanyak 55,848 premis makanan diperiksa (sejak 1 Jan lalu) melibatkan bilangan premis tertinggi di Pahang sebanyak 7,222 buah premis, 6,856 di Johor dan 6,456 di Sarawak,” katanya selepas menghadiri majlis minum petang di Pusat Perubatan Universiti Malaya hari ini.
Larangan merokok itu diwartakan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).
Larangan itu dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka, namun perokok masih dibenarkan merokok pada jarak 3m dari luar restoran.
Penguatkuasaan penuh larangan itu bermula 1 Jan lalu, selepas 12 bulan penguatkuasaan pendidikan dijalankan sejak 1 Jan tahun lalu.
Mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok boleh dikenakan kompaun RM250 dan di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b), pemilik premis yang menerima notis kesalahan juga boleh dikenakan kompaun sama, untuk kesalahan pertama dan ke-2, manakala kadar kompaun lebih tinggi untuk kesalahan ke-3 dan seterusnya.