Trump perlu dapat kelulusan Kongres sebelum ambil langkah ketenteraan baru terhadap Iran

Trump perlu dapat kelulusan Kongres sebelum ambil langkah ketenteraan baru terhadap Iran

224 ahli Parlimen mengundi menyokong resolusi berbanding 194 yang menentang.

Serangan dron AS yang membunuh komander tertinggi tentera elit Iran Qasem Soleimani di Baghdad semakin membahayakan situasi dunia, selain memburukkan lagi keadaan di rantau yang sedia bergolak. (Gambar AP)
NEW YORK:
Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang diketuai parti Demokrat pada Khamis meluluskan satu resolusi tidak mengikat yang memaksa presiden Donald Trump mendapatkan kelulusan kongres sebelum mengambil langkah ketenteraan baru terhadap Iran, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Resolusi kuasa-kuasa perang paling simbolik itu diluluskan selepas 224 ahli Parlimen (yang terdiri daripada hampir semua ahli Parlimen Demokrat, 3 ahli Parlimen Republikan dan seorang ahli Parlimen Bebas) mengundi menyokong resolusi itu, berbanding 194 yang menentang.

Undian itu berlaku selepas hampir seminggu Trump menandatangani arahan serangan dron AS di Iraq yang menyebabkan komander tertinggi tentera elit Iran Qassem Soleimani terbunuh dan menyebabkan kedua-dua negara semakin menghampiri peperangan, yang mungkin berlaku pada bila-bila masa sejak revolusi Islam 1979.

Jerry Nadler, ahli Parlimen Demokrat yang mewakili New York dan merupakan pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan berkata, pembunuhan itu, yang berlaku di luar lapangan terbang Baghdad, menjadikan situasi dunia semakin berbahaya dengan memburukkan lagi keadaan di rantau yang sudah pun bergolak.

“Selepas hampir 2 dekad berperang, presiden Trump terus merisikokan keselamatan Amerika, anggota tentera dan sekutu kita apabila menyebabkan ketegangan dengan Iran semakin meruncing sehingga mencecah tahap baru yang berbahaya,” tulis Nadler di Twitter.

Bagaimanapun ahli Parlimen Republikan berhujah bahawa isu Iran perlu ditangani dan Trump diberi lampu hijau mengarahkan serangan itu di bawah pemberian kebenaran untuk berperang yang diluluskan Kongres AS pada 2002 selepas serangan 11 Sept 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.