Tiada kroni, orang baru dapat tapak di Uptown Danau Kota, kata persatuan

Tiada kroni, orang baru dapat tapak di Uptown Danau Kota, kata persatuan

Beberapa peniaga mendakwa tapak baru di Uptown Danau Kota diberikan kepada kroni dan orang baru dengan menafikan pemilik tapak asal.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew ketika meninjau tapak baru Uptown Danau Kota.
PETALING JAYA:
Semua peniaga di tapak baru Uptown Danau Kota merupakan peniaga asal dari tapak lama, kata pengerusi penjaja Bazaria Wangsa Maju, Ibrahim Merican.

Ibrahim tampil membuat penafian itu susulan dakwaan beberapa peniaga yang mendakwa tapak baru diberikan kepada kroni dan orang baru dan menafikan hak pemilik tapak asal.

“Semua yang berniaga di tapak baru adalah orang yang lama. Mereka semua datang dari bawah (tapak lama) naik ke atas (tapak baru), orang baru langsung tidak ada,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu lebih 200 peniaga membuat laporan polis terhadap ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Hisham Ahmad Dahlan dan Ibrahim.

Peniaga berkenaan yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju oleh pihak yang dinamakan, membuat laporan di Balai Polis Setapak dengan dibantu Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas).

“Laporan dibuat kerana peniaga dihalang buka kedai di tapak lama. Mereka mengalami kerugian, selain berlakunya salah guna kuasa dalam pemberian lot tapak baru kepada peniaga yang bukan dari tapak asal. Tindakan mereka tidak telus.

“Jumlah peniaga yang akan buat laporan seramai 260 orang dan setakat petang tadi (semalam) sudah 130 orang membuat laporan polis, selebihnya akan buat malam ini.

“Mereka yang menjadi mangsa dan dinafikan hak ini ada lesen dan sudah berniaga sejak 14 tahun, 13 tahun, 7 tahun dan sebagainya,” kata presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah.

Mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya, Ibrahim berkata, beliau akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mencari jalan penyelesaian.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim mengakui terdapat beberapa peniaga di tapak lama tidak menerima tapak di kawasan baru sambil menasihati mereka supaya membuat rayuan kepada pihak DBKL, bukannya secara terus bertindak membuat laporan polis.

“Sepatutnya mereka membuat rayuan kepada DBKL kalau nama mereka tercicir. Mungkin ada yang tercicir, tapi secara keseluruhan DBKL telus (dalam pemberian tapak),

“Saya jumpa peniaga, ramai mengatakan perkara sama (pemberian tapak telus),” katanya,

Pada masa sama Ibrahim menafikkan tuduhan kononnya beliau terlibat secara langsung dalam proses pemberian tapak di kawasan baru.

“Saya hanya orang berniaga yang dilantik apabila kita tubuh komuniti bagi menjaga kebajikan peniaga di tapak baru. Yang pilih siapa layak dapat tapak, yang buat dasar ialah DBKL. Saya tidak terlibat dalam pembahagian tapak,” katanya.

Pada Jan lepas, kira-kira 70 orang mengadakan bantahan mendakwa Tan menyalahgunakan kuasa dengan membawa masuk 30 peniaga Cina yang bukan peniaga asal ke tapak baru sedangkan 300 daripada 800 peniaga asal keciciran nama.

Sebagai respons terhadap bantahan itu, Tan mendakwa mereka yang terlibat merupakan sindiket dan kroni yang hilang pendapatan daripada kutipan penjaja.

Katanya, terdapat 3 hingga 4 “kumpulan gangster” yang mengutip antara RM500 hingga RM1,000 daripada peniaga di Uptown Danau Kota sepanjang 12 tahun lepas.

Tan berkata, peniaga yang dipindahkan ke tapak baru dipilih secara telus melalui 3 kali bancian dalam tempoh 4 bulan yang dibuat oleh badan bebas yang dilantik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.