Kesatuan guru gesa Influenza A masuk senarai penyakit kuarantin

Kesatuan guru gesa Influenza A masuk senarai penyakit kuarantin

Bagi membolehkan guru dan murid diberi kemudahan cuti kuarantin.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa penyakit Influenza A dimasukkan dalam senarai penyakit berjangkit yang diberi kemudahan cuti kuarantin, susulan laporan mengenai jangkitan di beberapa negeri.

Setiausaha Agung Harry Tan Huat Hock berkata bahaya Influenza A, yang mula merebak, wajar dimasukkan dalam senarai itu bersama 6 penyakit berjangkit lain iaitu penyakit tangan, kaki, dan mulut; demam denggi dan denggi berdarah, campak, cacar air; difteria; dan malaria.

“NUTP menggesa kerajaan mempertimbangkan agar penyakit Influenza A juga dimasukkan ke dalam senarai 6 jenis penyakit berjangkit yang diberi kemudahan cuti kuarantin kepada guru dan murid yang menghidap penyakit ini yang boleh membawa maut,” katanya dalam kenyataan.

Gesaan ini selaras Perintah Am 24 Bab C (Cuti), yang membolehkan pegawai kerajaan dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Perintah sama membolehkan pegawai kerajaan, yang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara, ditahan di mana-mana stesen kuarantin.

“Pegawai yang diberi perintah kuarantin layak mendapat cuti bergaji penuh sepanjang tempoh kuarantin selaras dengan peraturan dan ketetapan yang dibuat,” katanya.

Terbaru, pihak berkuasa melaporkan 2 kes Influenza A dikesan di Cyberjaya, melibatkan 20 pelajar dan 1 guru, dan di Klang, melibatkan 2 beradik, semalam.

Pihak berkuasa juga melaporkan seramai 53 murid di 24 sekolah di Pulau Pinang dijangkiti influenza sehingga semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.