
Dalam satu wawancara Al-Jazeera semalam, Michael Hershman di Fairfax Group berkata Abu Kassim, yang diminta meletakkan jawatan selepas SPRM menyiasat bekas perdana menteri Najib Razak atas penglibatannya dalam skandal 1MDB, meminta bantuannya pada 2015 untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa AS supaya 1MDB terus disiasat.
“Abu Kassim, yang saya kenal selama bertahun-tahun – saya dan beliau berkhidmat bersama di suruhanjaya anti-rasuah Interpol – bertanya sama ada saya boleh menyerahkan dokumen ke Pejabat Peguam Negara AS di New York dan mengatur pertemuan rahsia dengan mereka supaya beliau dapat pastikan entiti di luar Malaysia akan meneruskan siasatan,” kata Hershman.
“Saya memberikan maklumat itu dan saya mengadakan pertemuan itu.
“Malangnya, akibat pertemuan itu, beliau menghadapi tuduhan khianat kerana membantu pihak berkuasa pendakwaan asing dalam siasatan ke atas skandal 1MDB,” dakwa Hershman.
Bagaimanapun, Abu Kassim, yang digantikan dengan Dzulkifli Ahmad pada 1 Ogos 2016, tidak didakwa atas tuduhan khianat.
Hershman ditemubual Al-Jazeera mengenai rakaman perbualan telefon Najib berkenaan skandal 1MDB yang didedahkan SPRM pada Rabu.
Menurut Hershman, Abu Kassim dipaksa meletakkan jawatan selepas memaklumkan peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail, bahawa SPRM sedang menyiasat penglibatan Najib dalam salah urus 1MDB.
“Pada 2015, Abu Kassim bertemu peguam negara dan beritahu perdana menteri sasaran siasatan mereka,” kata Hershman.
“Apabila peguam negara bersemuka dengan perdana menteri dan beritahu beliau sedang disiasat, beliau disingkirkan dan diganti dengan kawan Najib.
“Pada masa sama, Abu Kassim di bawah pengawasan dan diminta meletakkan jawatan…” dakwanya.
Abu Kassim sebelum ini berkata beliau tidak dipaksa meletakkan jawatan, menegaskan beliau berundur dengan kerelaan.
Antara 9 rakaman audio yang didedahkan SPRM pada Rabu adalah perbualan yang dikatakan antara Najib dan pegawai kerajaan membincangkan urusan berkaitan 1MDB dan SRC International.
Rakaman itu dikatakan suara bekas perdana menteri Najib Razak; isterinya, Rosmah Mansor; bekas timbalan pendakwa raya awam, Dzulkifli Ahmad; dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu, Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Menyifatkan rakaman itu sebagai “luar biasa”, Hershman berkata 1MDB menjadi salah satu daripada “situasi cover-up terburuk yang pernah saya lihat”.
“Tiada siapa sangka akan temui rakaman perbualan seperti ini antara pegawai tertinggi kerajaan di 2 negara,” katanya.
“Kita tak tahu siapa yang menghasilkannya, sama ada perkhidmatan perisikan atau sumber dari UAE, tetapi apapun kebolehterimaannya, ‘cover-up’ ini adalah model apa yang tidak boleh dilakukan,” katanya.