Zii Jia ‘buang’ tekanan sebelum tewaskan naib juara dunia

Zii Jia ‘buang’ tekanan sebelum tewaskan naib juara dunia

Lee Zii Jia pemain Denmark, Anders Antonsen pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, semalam.

Lee Zii Jia kini menduduki ranking ke-14 dunia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia berjaya melepasi halangan pertama apabila menewaskan naib juara dunia dari Denmark, Anders Antonsen pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, semalam.

Zii Jia bangkit menguasai set kedua dan set penentuan selepas membuang segala tekanan yang membelenggu dirinya yang menyebabkan pemenang pingat emas Sukan SEA ke-30 di Filipina itu tewas 14-21 kepada pemain di ranking ke-4 dunia itu di set pertama.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui kebangkitan pada 2 set berikutnya, 21-15 dan 21-8 adalah hasil sokongan padu peminat tempatan selain mendapat kata-kata semangat daripada jurulatih Hendrawan.

“Terima kasih kepada peminat yang banyak menyokong saya walaupun set pertama saya main tidak bagus. Set pertama saya lebih tertekan kerana ini adalah kejohanan pertama tahun ini dan perlawanan pembukaan, apatah lagi saya memenangi emas Sukan SEA dan ini menambahkan lagi tekanan.

“Nasib baik set ke-2 saya mengikut arahan jurulatih dan menampilkan permainan sebenar saya,” katanya yang kali pertama mencipta kemenangan ke atas Antonsen selepas tewas dalam 2 pertemuan sebelum ini.

Zii Jia, yang kini menduduki ranking ke-14 dunia, bakal berdepan dengan pemain India, Sameer Verma bagi perebutan tempat ke suku akhir hari ini.

Sameer membuka gelanggang dengan menewaskan pemain Thailand,Kantaphon Wangcharoen, 21-16, 21-15.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren yang sebelum itu beraksi cemerlang dalam pusingan kelayakan meskipun di belenggu kecederaan di bahagian belakang.

Daren yang berjaya melepasi halangan pemain India dan China pada pusingan kelayakan, bagaimanapun ditunjukkan jalan keluar oleh pemain pilihan ke-6 dari Indonesia Jonatan Christie pada perlawanan pusingan pertama.

Pemain profesional negara yang tewas pada set pertama 10-21, cuba bangkit menguasai set ke-2 dengan 21-16 untuk mengheret ke set penentuan, bagaimanapun terpaksa tunduk kepada pemain di ranking ke-6 dunia itu 15-21.

“Persembahan saya agak baik walaupun saya cakap memang belum 100% pulih. Di set ke-2 tadi, agak rasa sakit terutama ketika melakukan pukulan pantas. Saya harap kecederaan ini tidak jadi semakin serius,” katanya.

Dalam saingan beregu campuran pula, 2 pasangan utama negara iaitu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati ramalan selepas berjaya melepasi halangan di pusingan pertama.

Peng Soon-Liu Ying, yang juga gandingan profesional, diletakkan selaku pilihan ke-6 kejohanan, berjaya mengetepikan 1 lagi pasangan negara Low Hang Yee-Lim Chiew Sien 21-7, 21-11 diikuti Soon Huat-Shevon yang menundukkan pasangan China, He Ji Ting-Du Yue 21-12, 21-19.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas mudah kepada pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet, 17-21, 4-21.

Terdahulu, pasangan Man Wei Chong-Pearly Tan mencipta kejutan terbesar apabila menyingkirkan beregu elit yang berada dalam kelompok 5 terbaik dunia, Praveen Jordan – Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia 21-18, 21-13.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.