
Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram berhubung pembelian di butik barang kemas Swiss, de Grisogono di Itali pada 8 Ogos 2014 menggunakan kad kreditnya.
Sithambaram berkata, 10 transaksi dicaj ke atas kad kredit Ambank Najib yang berjumlah €763,000 (RM3.5 juta) pada hari itu.
“Saya perlu periksa dengan isteri saya. Beliau yang membuat pembelian itu. Saya minta isteri saya memilihnya.”
Sithambaram memberitahu Najib: “Hanya wanita yang tahu apa yang disukai wanita lain.”
Terdahulu, pegawai penyiasat kes itu, Rosli Hussain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu mahkamah, pembelian barang kemas itu pada 2014 dan sepucuk surat penghargaan didakwa daripada Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie kepada Rosmah tidak pernah timbul sepanjang siasatan.
Najib menerusi Facebooknya berkata, beliau menggunakan kad kreditnya untuk membeli hadiah bagi seorang ahli kerabat diraja dan ia adalah amalan lazim untuk memberi hadiah kepada kenamaan asing.
Mengenai pembelian seutas jam tangan bernilai AS$130,625 di butik Chanel di Hawaii untuk Rosmah, Najib bersetuju dengan cadangan Sithambaram yang ia adalah hadiah “agak mewah”.
Beliau bertanya jika pembelian jam tangan itu adalah perbelanjaan peribadi, Najib menjawab ya.
Sithambaram kemudiannya berkata, jam tangan itu bukan satu-satunya barang yang dibeli Najib bagi tujuan peribadi.
“Anda kata jam tangan Chanel itu ialah satu-satunya barang yang anda beli untuk tujuan peribadi, tetapi ada pembelian lain.”
Najib menjawab “ya, tetapi ia adalah barang yang jauh lebih kecil”.
Sithambaram menunjukkan penyata kad kredit Najib bagi Januari 2014, di mana AS$43,055 dicaj ke atas kad untuk pembelian di Stefano Ricci dan House of Bijan di Beverly Hills.
Sithambaram: Apakah 2 barang yang anda beli dari House of Bijan?
Najib: Mungkin jaket atau sut. Saya tidak ingat.
Sementara itu, hakim mengingatkan Najib tidak membuat kenyataan di media sosial mengenai perbicaraan yang masih berlangsung kerana beliau terikat dengan sumpah.
Perbicaraan bersambung 20 Jan ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.
Beliau turut dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.