
Rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang ini boleh dikatakan bertuah kerana pasukan berstatus kelab, Kelantan United FC (KUFC) menjadi “penyelamat” yang memastikan lampu limpah Stadium Sultan Muhammad IV terus terang-benderang.
Kehadiran pasukan yang terkenal dengan slogan “Kita Sahut, Kita Lawan” itu tepat pada masanya pada saat bahtera The Red Warriors (TRW) seakan-akan “karam” dipukul gelombang kewangan yang kronik sejak beberapa tahun ini.
Kemunculan pasukan “Kijang Hijau” itu boleh dikatakan tonik buat rakyat Kelantan untuk terus menjadi pemain ke-12, apabila pasukan utama TRW yang sebelum ini pernah merangkul juara “treble” dan digeruni pasukan lawan berdepan masalah pengurusan apabila gagal memburu sebarang kemenangan, malah turun ke Liga Perdana pada 2019.
“Zaman emas” pasukan Kelantan TRW bermula pada tahun 2010 di bawah pimpinan Annuar Musa apabila berjaya memenangi piala demi piala.
Malah Kelantan United semakin mendapat tempat di hati penyokong apabila muncul juara Liga M3 2019 apabila berjaya mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan sekali gus melayakkan pasukan itu beraksi di Liga Perdana tahun ini.
Boleh dikatakan kehadiran pasukan Kelantan United dalam Liga Perdana yang turut disertai TRW merupakan “2 beradik” yang bakal membawa nama negeri Serambi Mekah itu kembali digeruni.
Lebih menarik Kelantan United hadir dengan identiti tersendiri dengan imej pasukan patuh syariah apabila semua pemain Muslimnya dididik menutup aurat semasa beraksi.
Malah pasukan yang boleh digelarkan patuh syariah itu tampil dengan himpunan pemain berbakat yang pernah membarisi skuad TRW sebelum ini, termasuk “Captain Marvel” Mohd Badhri Radzi atau Piya.

Bukan sahaja Piya, Kelantan United turut dibarisi beberapa pemain berbakat lain yang pernah menyarung jersi kebangsaan antaranya, Daudsu Jamaludin, Amiridzwan Taj Tajudin, di samping beberapa pemain berpengalaman lain seperti Fakrul Zaman Zawawi, Muhamad Shahrul Hakim, Shahrizan Ismail, Rozaimi Azwar dan Nizab Ayub.
Hasil gandingan pemain yang membawa pasukan itu menjadi juara Liga M3, sekali gus membangkitkan semula minat orang Kelantan untuk kembali memenuhkan Stadium Sultan Muhammad IV.
Menerusi aksi pasukan itu tahun lepas, peminat nyata teruja melihat ketajaman penyudah pasukan itu yang menjaringkan lebih 100 gol sepanjang aksi Liga M3 dan saingan Piala FA 2019.
Tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat Kelantan kini sudah boleh bersorak gembira di stadium setiap kali Kelantan United meledak jaringan dan mencipta kemenangan.
Malah kehadiran Kelantan United bimbingan Zahasmi Ismail dalam saingan Liga Perdana musim 2020 memeriahkan bola sepak di negeri itu yang pernah terkenal dengan penyokong fanatik apabila turut bersaing dengan skuad utama TRW yang ini dalam proses memulihkan kembali pasukan.
Ketika diwawancara oleh FMT, presiden Kelantan United Che Abdullah Mat Nawi meletakkan sasaran layak ke Liga Super dalam tempoh 3 tahun selepas ia dijenamakan semula daripada pasukan asal Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan Football Club (MPKB-BRI UBES FC) pada awal tahun 2019.

Abdullah turut mengakui kelainan pasukan Kelatan United berbanding pasukan lain antaranya, termasuklah imej pakaian pasukan yang patuh syariah.
“Memang kita tekankan disiplin yang kuat. Bolehlah kita dikatakan sebagai pasukan ‘patuh syariah’, tetapi kita tidak memaksa. Budaya dalam pasukan membuatkan pemain menyambut baik dan berminat dengan garis panduan yang diletakkan pihak pengurusan, termasuk berpakaian patuh syariah,” katanya tetapi menjelaskan walaupun Kelantan United mengamalkan budaya patuh syariah, pasukan itu terbuka kepada semua, termasuk bukan Islam.
“Walaupun kita kata pasukan patuh syariah, tetapi sebenarnya tidak mengehadkan kepada pemain beragama Islam sahaja,” katanya.
Abdullah mengakui Kelantan United bukanlah pasukan kaya, bagaimanapun pihaknya akan memastikan pasukan boleh digerakkan setanding dengan pasukan ternama yang lain.
“Kita memaklumkan lebih awal apabila nak ambil pemaian, termasuk import. Kita cuma ambil dalam kemampuan kita dan kita berjanji sekadar kemampuan. Sekiranya mereka bersedia untuk bermain dengan pasukan ini, kita terima.
“Kita terima macam-macam dana, baik daripada kerajaan negeri, mahupun dari luar. Setakat ini kita mampu bergerak dan kita berharap dengan kesungguhan dan pencapaian yang kita tunjuk akan gembirakan rakyat Kelantan.
“Kelatan United menjadi pasukan harapan kepada rakyat Kelantan,” katanya sambil memaklumkan pembentukan pasukan juga turut mengambil kira pandangan lagenda bola sepak Kelantan,” katanya lagi.
Mengulas kehadiran Kelantan United dalam saingan Liga Perdana yang turut disertai skuad utama TRW, Abdullah berkata, penyertaan pasukan mereka dalam liga berkenaan menambah sokongan peminat bola sepak Kelantan.
“Kita mengharapkan TRW cemerlang. Dari awal lagi saya sebut, pembentukan pasukan ini akan menjadi pelengkap kepada TRW. Kita harap TRW naik ke Liga Super (tahun ini), cuma masih belum berjaya jadi kita berusaha.
“Oleh kerana saya dipertangungjawabkan untuk pasukan ini saya akan berusaha untuk pasukan ini supaya lebih maju. Kita juga mengharapkan TRW akan berjaya, lagi banyak pasukan dari Kelantan, lagi meriah,” katanya.
Kelantan United, TRW bukan bayangan PAS lawan Amanah
Ketika ditanya adakah pembentukan Kelantan United merupakan bayangan PAS menentang Amanah apabila TRW yang diketuai Wan Rahim Wan Abdullah melantik Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai penasihat pasukan, Abdullah berkata, beliau tidak melihatnya sebagai perlawanan politik.
“Saya tidak nampak sedemikian itu (perlawanan politik PAS, Amanah), sukan adalah sukan dan pasukan Kelantan adalah milik rakyat Kelantan. Jadi saya mengharapkan kedua-dua pasukan ini akan berjaya maju dan saya mengharapkan semua memberi sokongan kepada pasukan dari Kelantan.
“Kita (Kelantan United, TRW) macam adik beradik, kita tubuh pasukan ini bukan untuk kepentingan politik, sebaliknya untuk rakyat Kelantan, itu matlamat kita,” katanya yang juga ahli Parlimen Tumpat.