
Fesyen sentiasa berubah mengikut trend semasa serta ikutan tertentu.
Namun walau apa jua fesyen yang datang dan pergi, denim jeans tetap menjadi pilihan utama semua orang.
Tipulah jika dalam almari setiap rumah tidak ada jeans.
Perkataan “Jeans” ini berasal daripada perkataan Perancis, iaitu “Gênes” merujuk kepada kota Genoa yang menghasilkan tekstil di Itali iaitu pada awal abad ke-18.
Jeans merupakan pakaian yang dibuat daripada fabrik denim dan dungaree.
Penduduk di Nimes, Perancis cuba membuat kain serge yang bertekstur kasar sama seperti di Itali.
Kain tersebut diwarnakan dengan pewarna indigo dan dipanggil “serge de Nimes” yang akhirnya dipendekkan menjadi “denim”.

Kemudian pada pertengahan abad ke-19 sejarah moden jeans biru ini bermula apabila seorang imigran dari Jerman bernama Levi Strauss membawa masuk denim ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1853.
Zaman Gold Rush sedang kemuncak pada waktu itu di mana orang ramai berlumba-lumba memburu dan melombong emas di sebelah Barat AS.
Levi Strauss buka kedai kain dan baju di situ.
Tukang jahit bernama Jacob Davis rajin mendapatkan bekalan kain di kedainya.
Suatu hari, pelanggan Davis minta jahitkan seluar yang tahan lasak dan tak mudah koyak untuk aktiviti melombong.
Lalu dia membuat seluar daripada kain denim yang dibeli daripada Levi Strauss & Co dengan menggunakan beberapa rivet tembaga supaya tidak terlondeh.

Kemudian Davis mengajak Levi untuk jadi rakan kongsi dan paten rekaan tersebut.
Mereka bekerjasama dan membuka kilang dan perniagaan mereka sangat laris.
Seluar jeans ini asalnya direka untuk buat kerja-kerja praktikal.
Beberapa dekad kemudian, barulah ia menjadi pakaian kasual, trendy dan sebahagian dalam budaya popular.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]