Iran ‘mula bertenang’, kata Trump

Iran ‘mula bertenang’, kata Trump

Trump juga menggesa kuasa dunia mengikut langkahnya menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran pada Mei 2018.

Presiden AS Donald Trump berkata, AS akan segera mengenakan ‘sekatan tambahan lebih keras’ ke atas Iran, tetapi tidak menyebut tentang tindak balas ketenteraan terhadap serangan peluru berpandu oleh negara itu. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Amerka Syarikat Donald Trump berkata pada Rabu bahawa Iran kelihatan mula bertenang selepas melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Iraq yang tidak mengorbankan warga AS dan Iraq.

“Semua anggota tentera kita selamat dan hanya kerosakan kecil berlaku di pangkalan tentera kita. Tentera kita bersedia berdepan semua kemungkinan,” katanya dalam ucapan kepada rakyat AS dari Rumah Putih.

“Iran kelihatan mula bertenang. Ia baik untuk semua pihak terlibat dan sangat baik untuk dunia. Tiada rakyat AS dan Iraq yang terkorban.”

Trump berkata, AS akan segera mengenakan “sekatan tambahan lebih keras” ke atas Iran, tetapi tidak menyebut tentang tindak balas ketenteraan terhadap serangan peluru berpandu oleh Iran.

Pakar percaya ia merupakan respons pertama Iran terhadap pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani dalam serangan dron AS di Baghdad.

Dilancarkan pertama kali oleh pasukan dari dalam negara Iran dan bukannya proksi, serangan peluru berpandu itu menandakan perkembangan terbaru dalam peningkatan konfrontasi antara Washington dan Tehran, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia naik mendadak.

Menyifatkannya sebagai satu pencapaian ekonomi, Trump berkata, ia menyebabkan AS kurang bergantung pada minyak dari Timur Tengah, selain mengubah “keutamaan strategik” Washington di rantau itu.

“Hari ini saya akan meminta Nato supaya lebih terlibat dalam proses di Timur Tengah,” katanya.

Beliau juga menggesa kuasa dunia mengikut langkahnya menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran pada
Mei 2018.

Perjanjian itu sedia terungkai apabila Tehran berkata Ahad bahawa ia tidak lagi akan mengehadkan kapasiti dan tahap pengayaan uraniumnya, salah satu daripada komitmen negara itu di bawah Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

“Masanya telah tiba untuk United Kingdom, Jerman, Peranchis, Rusia dan China untuk menyedari realiti. Mereka kini harus menarik diri daripada saki baki perjanjian dengan Iran atau JCPOA,” kata Trump.

“Kita mesti bekerja bersama-sama dalam merangka perjanjian dengan Iran dan menjadikan dunia lebih selamat dan aman.”

Beliau merujuk kepada Iran secara langsung dengan berkata, AS mahu negara itu menikmati “masa depan cemerlang” yang makmur dan harmoni dengan negara lain.

“AS bersedia untuk menerima keamanan dengan semua pihak yang mahukannya,” katanya.

Pemimpin dunia mengutuk serangan peluru berpandu Iran yang menyasarkan pangkalan udara Ain al-Asad di barat Iraq dan satu pangkalan di Arbil, yang menempatkan anggota tentera AS dan negara asing lain yang merupakan sebahagian daripada pasukan diketuai AS bagi memerangi kumpulan IS.

Pemimpin tertinggi Iran menyifatkan serangan tersebut sebagai “tamparan ke muka” AS, tetapi berkata, pembalasan ke atas pembunuhan Soleimani, pemerintah sayap luar negara Pengawal Revolusi, belum berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.