
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saifuddin Nasution Ismail berkata, julat harga antara negeri adalah dari RM4.90 paling rendah dan RM24 paling tinggi semalam, menurut dapatan Majlis Harga Barang Negara.
“Kita telah mengeluarkan notis kepada kedai yang menjual bawang pada harga tersebut di bawah undang-undang kawalan harga dan pencatutan.
“Notis itu menuntut bukti daripada kedai supaya menunjukkan harga belian asal mereka daripada pengimport atau pembekal,” katanya kepada pemberita di luar satu acara di Balik Pulau di sini hari ini.
Saifuddin berkata, walaupun bekalan bawang di negara ini “lebih daripada mencukupi”, namun selera dan permintaan tinggi terhadap bawang India menyebabkan harganya melonjak.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku sewaktu India “berhenti mengeksport” bawang ke Malaysia sejak Sept dengan merujuk kepada pengurangan bekalan tempatan.
Saifuddin berkata, bekalan dari Belanda, China, Pakistan dan Mesir kekal tinggi, tetapi rakyat Malaysia lebih menggemari bawang India walaupun harganya lebih mahal.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa pembekal menyorok bawang India yang murah untuk menjualnya pada harga lebih tinggi, Saifuddin berkata, pihaknya belum menerima aduan sedemikian.
Terdahulu Saifuddin merasmikan pasar raya baru TF Value Mart di Balik Pulau.
Penelitian FMT menunjukkan bawang besar dijual pada harga 98 sen sekilo, jauh lebih murah berbanding pasar raya lain di Pulau Pinang yang menjualnya pada harga RM3.28 sekilo, dan bawang merah India pada harga RM6 sekilo.
Ketua pegawai eksekutif pasar raya itu Ho Mun Hao berkata, bawang berkenaan diimport dari Mesir dan mempunyai bau dan rasa lebih kuat dan tajam.
“Lihat warnanya, anda sudah tahu bawang Mesir lebih menyerupai bawang India. Baunya kuat. Bila dipotong, ia tidak terlalu berair. Ia hampir sama dengan bawang India.
“Kuncinya ialah mesti ada lembapan dalam bawang. Ini menyebabkan bawang India lebih digemari kerana rasanya lebih baik. Bawang dari negara lain lebih kering,” katanya.
Ho berkata, ia akan terus menjual bawang pada harga 98 sen sekilo di semua 33 outlet di seluruh negara selama seminggu dan hanya akan dinaikkan kepada “seringgit lebih” selepas itu.
“Kita tidak akan menaikkannya ke 2 angka. Sebelum ini kita menjual bawang India pada harga RM3.89 sekilo,” katanya.
Ho berkata, pasar raya itu membeli stok bawangnya daripada satu pembekal dan komited untuk membeli stok berikutnya daripada pembekal yang sama.