
Haniff berkata, tindakan SPRM menerusi ketuanya, Latheefa Koya mendedahkan rakaman audio itu berlawanan dengan harapan rakyat yang mahu negara kembali dipimpin ke landasan betul dan melihatnya mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutamanya pihak penguat kuasa undang-undang seperti SPRM, untuk menunjukkan amalan betul prinsip kedaulatan undang-undang.
“Ia supaya segenap lapisan masyarakat lain seperti pemimpin politik, korporat, profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Latheefa bertindak mendedahkan rakaman audio dikatakan antara bekas perdana menteri Najib Razak dan 7 lagi individu berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.
Latheefa berkata, rakaman itu melibatkan Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari Emiriah Arab Bersatu, menunjukkan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.
Haniff berkata, berlandaskan prinsip undang-undang, Latheefa sepatutnya mengarahkan pegawainya membuat laporan polis dan menyerahkan kesemua bahan mengandungi 9 rakaman audio untuk siasatan.
“Jikalau ada kandungannya mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain, ia termasuk dalam kategori kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, bukannya di bawah Akta SPRM.
“Bahan bukti yang perlu disiasat polis tidak boleh didedahkan. Ia boleh menjejaskan siasatan dan juga memberi gambaran dan impak negatif,” katanya.
Najib dalam responsnya terhadap rakaman audio itu berkata, pendedahan SPRM dapat membantu kesnya di mahkamah, bahkan membuktikan beliau tidak berbohong dan cuba menyelesaikan masalah 1MDB dengan cara baik demi kebaikan Malaysia dan UAE.
Perbicaraan oleh media
Pemimpin DAP Ramkarpal Singh turut menyelar pendedahan rakaman audio SPRM itu, mengatakan ia “tidak wajar” dan boleh membawa kepada perbicaraan oleh media.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, sementara semua orang ingin tahu sama ada mereka yang terlibat dalam rakaman itu bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan, ia adalah perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah dan bukannya media atau agensi yang menyiasat perkara itu.
“Sekiranya trend sedemikian berterusan, kita akan melihat penjenayah yang didakwa didapati bersalah di sidang media dan bukannya di mahkamah.
“Jika ada bukti terhadap individu yang terlibat dalam rakaman tersebut, dakwa mereka dan bentangkan rakaman ini di mahkamah sebagai bukti untuk dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ramkarpal yang juga peguam berkata kedaulatan undang-undang mesti dipatuhi.
“Dan tindakan SPRM di sini tidak konsisten dengannya.”
Beliau juga secara peribadi merasakan mengintip individu dengan cara merakam perbualan telefon mereka adalah tidak berperlembagaan, walaupun ia mungkin diperuntukkan oleh undang-undang.
Beliau berkata ia tidak boleh dibiarkan kerana ia melanggar “hak privasi kita”.