Azmin bersyukur tiada pendakwaan kes video seks gay

Azmin bersyukur tiada pendakwaan kes video seks gay

Kebenaran sudah menang, kata Azmin Ali.

Mohamed Azmin Ali.
PETALING JAYA:
Mohamed Azmin Ali bersyukur Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa mana-mana pihak dalam kes video seks sejenis yang cuba dikaitkan dengannya kerana gagal mengenal pasti individu terbabit.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau sejak awal tegaskan video itu fitnah dan komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

“Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah.

“Saya bersyukur kepada Allah atas kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan saya berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peguam Negara Tommy Thomas hari ini mengumumkan Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa mana-mana pihak dalam kes video seks sejenis itu kerana gagal mengenal pasti individu terbabit dalam video yang tersebar pada Jun tahun lalu.

Pada Jun, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara apabila mengakui terbabit dalam video itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan Azmin.

Azmin mengajak semua pihak supaya menghentikan politik fitnah, serangan peribadi, dan caci-maki, sebaliknya terus menjayakan agenda untuk membina masyarakat yang lebih baik menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.