53 murid di P Pinang dijangkiti influenza

53 murid di P Pinang dijangkiti influenza

Tiada sekolah ditutup kecuali 2 kelas Tahun 2 di sebuah sekolah di Butterworth.

GEORGE TOWN: Seramai 53 murid di 24 sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang dijangkiti influenza sehingga hari ini berbanding 19 orang semalam, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.

Walaupun jumlah yang dijangkiti influenza meningkat, namun tiada sekolah ditutup kecuali hanya 2 kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth sahaja yang masih ditutup bermula semalam.

“Kami berjaya mengesan kes jangkitan influenza di SJKC Li Hwa pada Selasa selepas ramai murid Tahun 2 tidak hadir dan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bersama Jabatan Kesihatan SPU ke sekolah itu untuk membuat pemeriksaan serta saringan.

“Sehingga semalam, 19 murid di 2 kelas di SJKC itu dijangkiti influenza dan pihak kesihatan mengarahkan kelas mereka ditutup selama 12 hari untuk pembersihan termasuk membasmi kuman. Hari ini saya dimaklumkan 2 lagi murid dari dua kelas berkenaan turut dijangkiti influenza,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, ketika ini seramai 45 murid di 17 sekolah rendah termasuk SJKC Li Hwa dan 8 pelajar di 7 sekolah menengah dijangkiti influenza.

SPU paling ramai dijangkiti iaitu 27 orang, diikuti Timur Laut seramai 10 orang.

Rashid berkata tiada keperluan untuk sekolah mahupun kelas lain ditutup kerana pelajar yang dijangkiti influenza hanya membabitkan antara seorang dan 3 orang di sesebuah sekolah dan mereka bukan dari kelas yang sama.

Ditanya sama ada 2 kelas yang ditutup selama 12 hari itu akan mengadakan kelas ganti pada masa hadapan, beliau berkata guru yang mengajar akan mengadakan kelas tambahan kepada 72 murid Tahun 2 terlibat supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu, Rashid berkata pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemantauan di sekolah-sekolah bagi memastikan keadaan bersih dan murid atau pelajar yang mengalami simptom penyakit itu mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata pihaknya juga turut mengambil beberapa langkah segera bagi mengawal penyakit itu daripada terus merebak dalam kalangan murid di sekolah dengan mengedarkan topeng muka di semua sekolah.

“Saya menghantar surat kepada semua sekolah supaya mengambil langkah segera termasuk menjaga kebersihan manakala murid atau pelajar yang mengalami simptom influenza seperti demam berterusan, batuk dan selesema diminta untuk mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran serta berehat di rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.