
Bekas perdana menteri itu berkata, rakaman berkenaan boleh membuktikan beliau tidak berbohong dan cuba menyelesaikan masalah 1MDB dengan cara baik demi kebaikan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kes ini dikaitkan dengan beberapa individu yang sangat dekat dengan pemimpin negara Abu Dhabi. Pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC), Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan serta putera Abu Dhabi pernah memberitahu akan melabur dalam projek filem Riza Aziz (anak tirinya).
“Ini disahkan sendiri melalui perbualan itu. Saya dan Riza ketika itu tidak tahu asal usul sumber wang diterima Riza dan percaya dana itu tidak ada masalah kerana ia diluluskan bank penerima.
“Riza pernah bayar balik sebahagian dana yang diterimanya sebagai pelaburan,” tulisnya di Facebook hari ini.
Terdahulu, SPRM mendedahkan 9 rakaman audio dikatakan antara Najib dan Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
SPRM berkata, individu lain yang terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin, bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas pengarah kewangan Ihsan Perdana, Abdul Aziz Ismail serta seorang individu bernama “Tan Sri Shukri”.
Selain putera mahkota UAE, warga asing lain yang terbabit ialah Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.
SPRM berkata, klip audio itu dirakamkan dari 5 Jan hingga 29 Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.
Najib mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memfitnahnya dengan mengatakan ia “cover up” atau konspirasi jenayah di peringkat tertinggi sedangkan agensi anti-rasuah itu tahu kewujudan perjanjian pelaburan asal pada 2012 dari Aabar Investment PJS Ltd (BVI).
“Syarikat Aabar adalah anak syarikat IPIC yang juga dimiliki penuh kerajaan Abu Dhabi. Ini antara bukti kes mahkamah semasa mereka mendakwa Riza. Perjanjian asal sudahpun diberi kepada peguam serta pihak bank pada 2012 semasa dana mula diterima.
“Apa yang berlaku ialah selepas Riza membayar balik sebahagian pelaburan tersebut, syarikat Aabar BVI ditutup pada akhir 2014 sebab itu Riza dan saya meminta perjanjian baru dari kerajaan Abu Dhabi supaya Riza boleh teruskan pembayaran balik pelaburan itu mengikut jadual ditetapkan.
“Matlamat utama ialah untuk menyelesaikan pembayaran balik pelaburan tersebut kerana Riza tidak mahu terlibat dengan dana yang ada masalah.”
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, peguamnya bercadang meminta SPRM menyerahkan rakaman itu untuk dijadikan bukti pembelaan kes melibatkan dirinya dan anak tirinya, tetapi ia perlu disahkan sahih.
“Rakaman itu perlu disahkan sebagai sahih serta disahkan mematuhi undang-undang, termasuk adakah wujudnya niat jahat atau ‘mala fide’ ketika rakaman dibuat sebelum digunakan sebagai bukti mahkamah terlebih dahulu.”
Najib sedang membela diri terhadap 6 tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan kuasa dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
Najib turut berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.