India hadkan import minyak sawit bertapis

India hadkan import minyak sawit bertapis

Sekatan itu bertujuan melindungi pengusaha kilang penapis tempatan.

NEW DELHI: Kerajaan India hari ini melaksanakan langkah mengehadkan import minyak sawit bertapis atas alasan bagi melindungi pengusaha kilang penapis tempatan.

Sekatan terhadap olein sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) itu diumumkan Kementerian Perdagangan India.

Sebelum ini, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menggesa New Delhi melaksanakan langkah bagi menyokong pengekstrak minyak bijian tempatan berbanding pengimportan minyak sawit bertapis yang lebih murah.

“Kerajaan India sepatutnya hanya mengimport minyak sawit mentah (MSM) bagi memanfaatkan penggunaan kilang penapis tempatan. Ini merupakan langkah dan hala tuju lebih tepat,” kata Presiden SEA, Atul Chaturvedi kepada Bernama.

India bergantung kepada pengimportan 70% keperluan minyak masaknya dan minyak sawit Malaysia serta Indonesia yang merangkumi hampir 2/3 daripada import minyak sayuran tahunan negara itu sebanyak 15 juta tan.

Pada 31 Dis lalu, India menurunkan duti import ke atas MSM daripada 40% kepada 37.5%, manakala minyak sawit daripada 50% kepada 45%.

Penapis tempatan turut meminta perbezaan cukai lebih tinggi antara MSM dan produk bertapis.

Malah, sekatan ke atas kelapa sawit RBD itu dilaksanakan ketika kenaikan harga minyak masak.

Menteri Hal Ehwal Pengguna, Ram Vilas Paswan berkata, kenaikan harga itu berlaku sejak beberapa bulan lepas walaupun pengeluaran minyak dan import minyak meningkat.

“Ia menunjukkan ada pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu mencetuskan spekulasi. Kami memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya menerusi Twitter pada Selasa.

Prestasi rupee India yang susut nilai juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kos import minyak masak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.