
Sabudin Mohd Salleh, 58, yang merupakan bekas timbalan pengarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan pertama, Sabudin didakwa menggunakan RM43,000 untuk membeli sebuah lori daripada Ong Sau Ming, pemilik sebuah syarikat pengedar kenderaan itu, yang mana wang berkenaan ialah hasil aktiviti haram.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Taman Puchong Utama, dekat sini, pada 1 Mei tahun lalu.
Sabudin juga didakwa memiliki wang tunai RM663,017 yang merupakan hasil aktiviti haram dan melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana, Ampang pada 9 Mei 2019.
Mengikut pertuduhan ke-3 pula, tertuduh didakwa memiliki wang tunai RM294,170 yang merupakan hasil aktiviti haram dan kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sasrestu Sdn Bhd, Taman Melawati, dekat sini pada tarikh sama.
Bagi semua pertuduhan, Sabudin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nik Haslinie Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan Sabudin adalah serius, tetapi jika mahkamah berpendapat lelaki itu layak dijamin, beliau memohon ikat jamin RM100,000 dengan 2 penjamin.
Peguam tertuduh, Aiman Abdul Rahman berkata, anak guamnya turut didakwa atas 4 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam dan dikenakan ikat jamin RM120,000.
“Saya memohon mahkamah mengambil kira kes (rasuah) tersebut dan menetapkan jumlah jaminan yang rendah kerana anak guam saya turut diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah semalam. Jadi, tiada alasan untuk anak guam saya melarikan diri.”
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan 2 penjamin selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan kes disebut semula 20 Feb ini.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu.