30 kaunter pasaran saham merosot susulan ketegangan di Timur Tengah

30 kaunter pasaran saham merosot susulan ketegangan di Timur Tengah

Kaunter kewangan dan telekomunikasi merosot, manakala kaunter tenaga dan utiliti turut tidak terkecuali walaupun harga minyak meningkat.

Saham perbankan utama merosot selepas serangan roket ke pangkalan udara AS di Iraq. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pasaran saham tempatan menerima kesan langsung daripada ketegangan yang meningkat di Timur Tengah dengan semua indeks rendah dalam dagangan awal.

Semua 30 kaunter utama di FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot dengan kaunter kewangan dan kaunter telekomunikasi mendahului, manakala kaunter tenaga dan utiliti turut tidak terkecuali walaupun harga minyak meningkat.

Saham perbankan utama; Maybank merosot 3 sen kepada RM8.62, AMMB susut 3 sen kepada RM3.80 dan CIMB berkurangan 6 sen kepada RM5.23 manakala Hong Leong Financial susut 30 sen kepada RM17.14.

Bagi saham telekomunikasi, Axiata merosot 11 sen kepada RM4.25, Maxis susut 5 sen kepada RM5.40 dan Digi berkurangan 3 sen kepada RM4.50.

Sementara itu, saham IHH dan Malaysian Airports yang mempunyai operasi di Timur Tengah turut terjejas, masing-masing merosot tiga sen kepada RM5.57 dan 16 sen kepada RM7.10.

Awal hari ini, Pentagon melaporkan Iran melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik ke atas 2 pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera AS dan dilihat sebagai tindakan balas terhadap serangan dron AS yang membunuh komander tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani minggu lepas.

Serangan peluru berpandu itu didakwa dilancar dari wilayah Iran yang dilakukan beberapa jam selepas pengebumian Qassem.

Pentagon berkata mereka sedang menilai tahap kemusnahan yang disebabkan oleh serangan tersebut, termasuk jumlah mangsa yang terlibat.

Sehingga 10.22 pagi, minyak mentah Brent sebanyak AS$69.93 setong dan dijangka melonjak dalam beberapa hari ini sejajar dengan ketegangan yang meningkat di rantau yang kaya dengan minyak itu.

FBM KLCI pada masa ini pada 1,596.68, susut 14.36 mata berbanding ditutup semalam dengan trend dagangan yang tidak menentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.