RM1 juta kepada PBT sedia kawasan khas merokok

RM1 juta kepada PBT sedia kawasan khas merokok

Kawasan khas merokok hendaklah di luar premis restoran dan sekurang-kurangnya 3 meter dari meja makan terdekat.

PUTRAJAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan RM1 juta kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk menyediakan kawasan khas merokok untuk kedai-kedai makan di kawasan masing-masing.

Menteri Zuraida Kamaruddin berkata PBT akan kemukakan satu garis panduan yang telah disediakan dalam masa terdekat untuk pemilik-pemilik kedai makan yang mahu memohon PBT sediakan kawasan khas merokok.

“Kawasan khas merokok yang disediakan hendaklah berada di luar premis dan sekurang-kurangnya 3 meter dari meja makan yang terdekat dan sebarang makanan atau minuman tidak boleh disediakan, dijual atau dihidang di dalam kawasan merokok tersebut bagi mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok buat pelanggan di dalam kawasan operasi perniagaan.

Peraturan itu termasuk dalam arahan yang menetapkan 3 meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka sebagai jarak kawasan larangan merokok.

Menurut Lee, ruang khas merokok di luar kawasan itu bawah bidang kuasa PBT.

Mohon pada PBT

Dalam pada itu, Zuraida berkata kos menyediakan kawasan khas merokok adalah RM5,000 seunit, dengan konsep sama seperti unit perintis di Senario Ampang dan Santai@Ampang.

Katanya, kebersihan kawasan khas merokok itu adalah tanggungjawab pemilik premis, yang juga perlu menyediakan tempat pembuangan puntung rokok, dan papan tanda “kawasan merokok” yang jelas.

Zuraida juga mencadangkan kawasan khas merokok berbumbung atau berkanopi.

“Sekiranya tempat tersebut melibatkan pembinaan struktur kekal, kelulusan daripada PBT perlu diperolehi,” katanya.

Zuraida berkata persatuan pengusaha kedai boleh memohon PBT masing-masing menyediakan kawasan khas merokok, dan PBT pula boleh memohon peruntukan daripada kementerian untuk tujuan itu.

Beliau menafikan penyediaan kawasan khas merokok itu tanda sokongan kepada perokok.

“Kita hanya sediakan kemudahan, sebab mereka juga bayar cukai,” katanya, dan menambah kementerian mendengar rungutan perokok yang mahu disediakan tempat khas seperti negara lain.

“Sebelum ini mereka tak gembira, sekarang sudah tidak marah,” katanya.

Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Perokok masih dibenarkan merokok pada jarak 3 meter dari luar restoran terbabit.

Bermula 1 Jan tahun ini, Kementerian Kesihatan mula menguatkuasakan larangan merokok di tempat makan dengan kompaun sehingga RM350.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.