
Mahkamah Manchester di barat laut England diberitahu Reynhard Sinaga mungkin menyerang seramai 195 lelaki, dengan mengundang mereka ke rumah pangsanya dengan menawarkan tempat tinggal atau minuman keras.
Hakim Suzanne Goddard menggambarkan lelaki berusia 36 tahun dari Jambi itu sebagai “pemangsa seksual yang jahat” yang memburu lelaki-lelaki muda yang mabuk.
Dia dipercayai menggunakan sedatif terhadap mangsanya supaya mereka tidak sedarkan diri sebelum merakamkan serangannya.
Kebanyakan tidak sedar serangan itu. Perbuatannya diketahui apabila seorang mangsa terjaga.
“Seorang mangsa menggambarkan anda seperti orang jahat,” kata Goddard. “Skala dan dahsyatnya kesalahan anda mengesahkan keterangan itu tepat.”
Beliau menyarankan Sinaga dipenjarakan sekurang-kurangnya 30 tahun.
Sinaga disabitkan dengan 159 kesalahan, termasuk 136 rogol dan 8 cubaan merogol, pada 4 perbicaraan berasingan, menurut perkhidmatan pendakwaan.
Perbicaraan pertama bermula pada Jun 2018, manakala yang terakhir berakhir pada Disember lalu.
Ia tidak boleh dilaporkan sehingga sekatan yang dikenakan bagi mengelakkan para juri diprejudiskan ditarik balik pada Isnin.
Perkhidmatan pendakwaan berkata Sinaga disyaki menyerang lebih ramai lelaki sejak berpindah ke Britain pada 2007, menggelarnya “pesalah seks paling teruk dalam sejarah negara ini”.
Timbalan ketua pendakwa raya bagi barat laut England, Ian Rushton berkata: “Reynhard Sinaga perogol paling prolifik dalam sejarah perundangan British.”