Peguam dakwa polis tak beri ubat kepada tahanan sakit tenat sebelum mati di lokap

Peguam dakwa polis tak beri ubat kepada tahanan sakit tenat sebelum mati di lokap

Benedict Thanilas yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan mempunyai masalah jantung, perlu mengambil 8 jenis ubat dan 4 suntikan insulin setiap hari.

Janagi Nadarajah memegang gambar suaminya, Benedict Thanilas yang meninggal dunia pada 10 Julai 2017.
PETALING JAYA:
Peguam terbabit dalam inkues kematian seorang tahanan di lokap pada 2017 yang sedang diadakan, mendakwa kecuaian polis semakin jelas apabila prosiding itu hampir berakhir kerana mereka tidak memberi ubat kepada tahanan yang sakit tenat.

Peguam M Visvanathan yang mewakili Janagi Nadarajah, iaitu isteri kepada tahanan itu, Benedict Thanilas berkata, anak guamnya hadir ke mahkamah di Kuala Lumpur semalam sebagai saksi dan memberitahu hakim yang polis tidak memberi ubat kepada suaminya.

“Semalam, dia (Janagi) menceritakan semasa polis datang ke rumahnya, beliau sudah memaklumkan kepada polis bahawa orang ini (Benedict) sakit tenat dan sudah menjalani pembedahan jantung, menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Sekurang-kurangnya 8 jenis ubat perlu diambil mendiang setiap hari. Walaupun sudah memaklumkan kepada polis, polis tidak mengambil berat perkara ini. Apa yang jelas, semasa bedah siasat dilakukan, laporan toksikologi tidak menunjukkan sebarang ubat dalam sistem tubuh si mati.

M Visvanathan.

“Ini bermaksud polis tidak memberikan apa-apa ubatan yang diperlukan. Maka, persoalan yang timbul adalah kenapa perlu diambil dan tahan orang yang tenat, kemudian dimasukkan ke dalam lokap? Kalau hendak jalankan siasatan, boleh jalankan siasatan tanpa reman,” katanya kepada FMT hari ini.

Benedict, 43, ditahan pada 29 Jun 2017 kerana disyaki mengedar dadah dan dia yang sepatutnya ditahan selama 60 hari, sudah disoal siasat selama 12 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Tetapi, Benedict ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap di Pusat Tahanan Jinjang pada 10 Julai 2017, sebelum dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 6.06 pagi hari sama.

Dia yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan mempunyai masalah jantung, perlu mengambil 8 jenis ubat dan 4 suntikan insulin setiap hari.

Dia pernah ditangkap pada 2016 dan dipenjara selama 2 bulan di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah memiliki dadah.

Visvanathan berkata, 23 saksi memberi keterangan sepanjang inkues berlangsung dan prosiding itu kini di peringkat akhir dengan baki 3 saksi yang semuanya anggota polis akan dipanggil mahkamah.

Katanya, satu rakaman CCTV dari Lokap Berpusat Jinjang di Kuala Lumpur turut ditayangkan di mahkamah semalam menunjukkan Janagi terpaksa memanjat sebuah dinding semata-mata untuk bercakap dengan suaminya.

“Memang tidak logik, memang ada video yang memaparkan cara Janagi bertemu dengan suaminya di lokap Jinjang.

“Keadaannya tidak masuk akal dan tidak ada keperluan untuk jadi macam itu. Takkanlah kelengkapan di negara kita sebegitu teruk?

“Kalau lihat semalam, terdiam satu mahkamah. Itu antara persoalan yang turut ditimbulkan semasa inkues.”

Inkues menentukan punca kematian Benedict akan bersambung 20 Jan ini di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.