
“Pembuktian konsep bukan sekadar membenarkan perkhidmatan dijalankan tanpa mendraf peraturan atau sekurang-kurangnya satu garis panduan. Orang ramai perlu dimaklumkan mengenainya, kalau tidak bagaimana mereka boleh menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka?
“Tanpa draf ini, pembuktian konsep seperti uji kaji. Adakah kita mahu membahayakan nyawa manusia untuk eksperimen?” soalnya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan kekurangan pakar yang boleh mendraf peraturan khusus untuk industri itu dan ia tidak memberitahu pengusaha mengenai sebarang peraturan yang didraf.
“Berdasarkan maklum balas industri, peraturan itu nampaknya akan dicadangkan penyedia perkhidmatan, ini salah sama sekali.”
Dego Ride, perkhidmatan e-hailing motosikal pertama di Malaysia, dilancarkan semula 1 Jan lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, ia akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan bagi belia B40.
Grab turut dilaporkan mula menawarkan perkhidmatan e-hailing motosikal bagi pelanggan di sekitar KLCC, Chow Kit dan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, Putrajaya tidak bercadang membenarkan perkhidmatan e-hailing motosikal atas faktor keselamatan, tetapi Kabinet pada Ogos lalu bersetuju memperkenalkan perkhidmatan itu di negara ini.
Wan Agyl yang juga pengarah strategik Pemuda Umno, mempersoalkan Gojek kekurangan aktiviti di lapangan kerana “mudah” untuk syarikat Indonesia itu memantau prestasi Dego Ride sepanjang tempoh percubaan.
Katanya, mengejutkan untuk melihat ia “senyap” mengenai rancangannya sendiri selepas mereka menemui Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi membentangkan pelan perkhidmatan mereka.
“Adakah mereka mengambil langkah tunggu dan lihat serta berjaga-jaga dengan membiarkan Dego Ride dan Grab menjalani eksperimen ini?”
Katanya, jika percubaan itu berjaya, Gojek boleh mula memasuki pasaran dan jika sebaliknya, ia baik untuk Gojek tidak membazirkan sebarang sumber bagi pembuktian konsep ini.