
“Semasa serangan al-Shabaab, yang merupakan sekutu kumpulan al-Qaeda di Afrika Timur pada awal hari ini, seorang anggota tentera dan 2 kontraktor Jabatan Pertahanan AS terbunuh di pangkalan tentera Kenya di Teluk Manda,” lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Africom.
AS berkata, 2 anggota lain Jabatan Pertahanan turut cedera dalam insiden itu dan mereka kini berada dalam keadaan stabil.
Komander tentera AS Africom Stephen Townsend berkata, nama mangsa yang maut dan cedera tidak akan didedah sehinggalah waris mereka dimaklumkan.
“Doa dan ingatan kami bersama sahabat handai dan keluarga rakan sepasukan kami yang kehilangan nyawa mereka hari ini,” kata Townsend dalam siaran akhbar.
Pasukan pertahanan Kenya mengumumkan mereka berjaya mematahkan serangan itu dan membunuh 4 anggota militan.
Kerajaan Somalia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu.