
Serangan di Zon Hijau itu merupakan yang ke-2 berturut-turut dilancarkan sejak malam kelmarin, dan merupakan yang ke-14 dalam tempoh 2 bulan yang disasarkan ke kawasan diduduki AS.
Roket ke-3 yang dilancarkan serentak dalam serangan semalam membedil sebuah rumah di luar kawasan Zon Hijau menyebabkan 4 orang cedera, kata sumber dari pusat perubatan kepada AFP.
Hubungan antara Iraq dan AS merosot selepas serangan yang dilancarkan AS menggunakan dron pada Jumaat lalu di lapangan terbang antarabangsa Baghdad membunuh Komander kanan Iran, Qasem Soleimani dan pemimpin kanan tentera Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis.
Serangan itu berlaku selepas beberapa hari tunjuk perasaan oleh pro-Iran yang menyerang kedutaan AS di Baghdad.
Parlimen Iraq semalam menggesa kerajaan mengusir AS dan tentera dari negara lain keluar dari negara tersebut.
Seramai 5,200 orang askar AS ditempatkan di pangkalan di seluruh Iraq bagi membantu pasukan keselamatan tempatan mengekang kumpulan jihad IS.
Mereka merupakan sebahagian daripada tentera gabungan antarabangsa, yang dijemput kerajaan Iraq pada 2014 untuk membantu melawan IS.
Serangan roket semalam dilancarkan selepas tamat tempoh akhir yang diberikan tentera militan Iraq, Hashed al-Shaabi yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran, supaya pasukan keselamatan Iraq keluar daripada kerjasama bersama tentera AS.