
Santiago berkata, Badlishah sepatutnya meminta maaf dan tidak mempertahankan soalan berkenaan.
Beliau mendakwa naib canselor itu memperlihatkan kesombongannya dengan berkata soalan tersebut dipetik di luar konteks apabila ia dikritik orang ramai.
“Adalah ironis apabila soalan di bawah tajuk “Cabaran Hubungan Etnik dan Isu Semasa” telah menimbulkan krisis yang lebih besar lagi.
“Naib canselor universiti itu tidak seharusnya memegang jawatan itu lagi kerana pusat pengajian seharusnya memupuk perpaduan, bukannya perpecahan,” katanya kepada FMT.
Katanya, panel ahli akademik yang meluluskan soalan tersebut juga perlu disingkir dan dipertanggungjawabkan.
Akreditasi unversiti berkenaan perlu disemak semula atau ditarik balik jika perlu, katanya.
Badlishah sebelum ini berkata, soalan terbabit menjadi tular kerana ia dipetik di luar konteks objektif pembelajaran dan pengajaran kursus Hubungan Etnik.
Beliau berkata, soalan itu mematuhi prosedur akademik yang standard sebelum ia digunakan.
Katanya, soalan itu juga selari dengan topik kertas peperiksaan terbabit, iaitu “Cabaran Hubungan Etnik dan Isu Semasa”, sementara kursus tersebut bertujuan melahirkan sebuah masyarakat Malaysia berdasarkan “acuan Malaysia”.
Salah satu soalan dalam kertas peperiksaan berkenaan seolah-olah memuji penceramah kontroversi Dr Zakir Naik sebagai “ikon” Islam.
Santiago berkata, terdapat 2 lagi soalan yang bersifat ofensif terhadap kaum India dan pihak yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah.