
Perkara berkenaan diakui sendiri pengendali pasukan Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid yang tidak mahu mengambil mudah kehadiran 2 pendatang baru berkenaan, selain 2 pasukan sedia ada iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Terengganu FC II, dalam usaha mereka memburu slot ke saingan Liga Super 2021.
“Kami tidak pernah terfikir untuk beraksi acuh tak acuh, dan mengambil kesempatan dengan adanya 4 pasukan ini, kerana sasaran kami tetap untuk memburu 2 tangga teratas Liga Premier 2020 demi maruah pasukan.
“Sebenarnya ramai yang tidak tahu, pasukan pembangunan ini tidak berdepan tekanan terlalu tinggi, malah sentiasa diberi sokongan pasukan utama, jadi kami sebenarnya lebih tertekan untuk mengejar kemenangan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.
Mengambil contoh pasukan JDT II, Manzoor mengakui skuad Harimau Kumbang berdepan kesukaran untuk menewaskan pasukan itu yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan seperti Dominic Tan Jun Jin dan Muhammad Haziq Nadzli, dalam saingan Liga Premier musim lepas.
Berkongsi pandangan sama adalah bekas kapten PKNS FC, Muhd Shahrom Kalam, yang menafikan kehadiran lebih ramai pasukan pembangunan, akan memudahkan laluan kepada pasukan lain untuk memburu slot ke saingan Liga Super 2021, kerana 4 pasukan berkenaan mempunyai kualiti tersendiri.
Beliau yang sah beraksi bersama Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier pada musim ini menjelaskan, kehadiran pasukan pembangunan berkenaan turut menjadi medan terbaik kepada pemain-pemain muda, untuk membuktikan keupayaan mereka dalam mengintai slot, beraksi dalam skuad utama masing-masing.
“Saya tidak bersetuju kalau nak kata saingan Liga Premier akan jadi tidak kompetitif musim ini, kerana sewaktu saya di Felcra FC, pasukan seperti JDT II khususnya mampu beri saingan kuat, menjadikan perlawanan yang amat sukar untuk kami.
“Tiada istilah jalan mudah untuk pasukan seperti kami di Negeri Sembilan dan skuad lain, kerana masing-masing ingin memburu kemenangan demi kemenangan, dan saya tahu situasi sebenar dalam saingan Liga Premier berdasarkan pengalaman saya bersama Felcra FC, selain melihat kepada kualiti yang ada dalam pasukan pembangunan ini, mereka sentiasa menurunkan pemain-pemain hebat untuk kami hadapi,” jelas bekas pemain kebangsaan itu.
Selangor II dan Perak II yang sebelum ini dikenali sebagai PKNS FC dan PKNP FC, merupakan pasukan pembangunan kepada Selangor dan Perak, yang beraksi dalam saingan Liga Super 2020. Ia susulan penstrukturan semula oleh Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Perak.