
Menteri Luar Saifuddin Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) di Iran, sedang mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.
“Setakat ini, kami telah mendapat beberapa maklumat baru, tetapi masih perlu pengesahan… identiti rakyat Malaysia belum dapat dikenal pasti.
“Kenyataan rasmi berhubung perkara ini akan dikeluarkan Wisma Putra nanti,” katanya kepada Bernama.
Semalam, media antarabangsa melaporkan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), merampas sebuah kapal disyaki menyeludup bahan api dan menahan 16 anak kapal warga Malaysia.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa merampas 1.3 juta liter bahan api yang diseludup, daripada kapal tidak dinamakan, yang berada 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.