
Demonstrasi ganas yang berlarutan selama 2 minggu meragut nyawa sekurang-kurangnya 27 orang apabila penunjuk perasaan anti-kerajaan melepaskan kemarahan mereka di seluruh negara, cabaran terbesar buat Perdana Menteri Nahendra Modi sejak beliau berkuasa pada 2014.
Modi menafikan tuduhan bahawa undang-undang, yang memudahkan prosedur kewarganegaraan bagi minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran, adalah sebahagian daripada pelan induk untuk membentuk semula India sebagai negara Hindu.
Kelmarin, ribuan sukarelawan bersenjatakan tongkat buluh daripada kumpulan Hindu, di mana Modi merupakan ahli sepanjang hayat kumpulan itu, berhimpun di selatan bandar Hyderabad bagi menunjukkan sokongan kepada kerajaan.
Pengikut Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), sebuah kumpulan ala ketenteraan yang menyokong “Hindutva” atau hegemoni Hindu, bergerak di jalan raya sambil memukul gendang dan meniup “horn”.
Perarakan itu menyaksikan sukarelawan menunggang kuda, menyanyikan lagu dan melakukan aksi menggunakan “lathis” iaitu tongkat buluh yang digunakan oleh polis rusuhan India.
Bantahan terhadap undang-undang kewarganegaraan baru di India tidak menunjukkan tanda-tanda akan tamat, walaupun beberapa hari sebelum ini jumlah penunjuk perasaan yang turun ke jalan raya semakin berkurangan.
Sekitar 2,500 orang berdemonstrasi membantah kerajaan di Mumbai semalam, dengan penunjuk perasaan mengibar bendera dan membawa sepanduk mengajak orang ramai memboikot undang-undang kewarganegaraan itu.
Penunjuk perasaan juga berarak di timur bandar Kolkata manakala ratusan wanita Islam berdemonstrasi di negeri selatan Karnataka di mana 2 orang ditembak mati oleh polis minggu lalu.
Di Uttar Pradesh, kawasan paling banyak populasi di India yang menyaksikan 19 orang terbunuh sejak bantahan itu, ribuan orang ditahan pihak berkuasa dan lebih 100 orang didakwa merosakkan harta benda awam.
Sekitar 130 orang diperintahkan untuk membayar hampir 5 juta rupee dalam masa seminggu, dengan pihak berkuasa memberi amaran harta mereka akan dirampas dan dilelong untuk menampung kerugian.