Dong Jiao Zong batal sidang Jawi, akur perintah mahkamah

Dong Jiao Zong batal sidang Jawi, akur perintah mahkamah

Dong Zong dan Jiao Zong meminta semua wakil dan pertubuhan terlibat membatalkan kehadiran mereka.

PETALING JAYA:
Persidangan membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular esok dibatalkan susulan perintah mahkamah, kata kumpulan pendidikan Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina (Jiao Zong).

Mereka dalam kenyataan bersama mengesahkan menerima perintah mahkamah itu daripada polis petang tadi.

“Dong Jiao Zong terpaksa membatalkan persidangan tersebut, meminta semua wakil dan pertubuhan yang terlibat membatalkan kehadiran untuk persidangan tersebut,” katanya.

Polis hari ini mengumumkan ia memohon dan mendapat perintah mahkamah untuk Dong Zong tidak meneruskan persidangan itu, yang mahu membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular dan tujuannya untuk meyakinkan kerajaan agar membatalkan pengajarannya.

Ia juga hanya dibuka kepada wakil-wakil NGO Cina.

Ketua Polis Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata polis memohon perintah mahkamah itu bagi mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, selepas menerima banyak laporan polis dari seluruh negara berhubung persidangan itu.

“Polis akan ambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang enggan mematuhinya,” katanya dalam kenyataan.

Dong Jiao Zong berkata ia akan memberi maklum balas seterusnya selepas perbincangan dalaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.