PM Sudan ikrar heret pelaku kes bunuh, genosid ke muka pengadilan

PM Sudan ikrar heret pelaku kes bunuh, genosid ke muka pengadilan

Abdalla Hamdok berkara pihak akan berusaha memastikan semua penjenayah dibicarakan dan maruah dikembalikan kepada keluarga mangsa

Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok. (Gambar AP)
KHARTOUM:
Perdana Menteri Sudan Abdalla Hamdok semalam berikrar untuk mengheret mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan dan genosid di negara itu ke muka pengadilan, lapor agensi berita China Xinhua.

“Keadilan akan ditegakkan. Undang-undang akan menghukum semua pembunuh,” kata Hamdok ketika berucap pada perhimpunan sempena ulang tahun pertama protes Disember Sudan.

“Jenayah perang dan genosid tidak akan gugur kerana statut pembatasan. Kami akan berusaha memastikan semua penjenayah dibicarakan dan maruah dikembalikan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Hamdok turut mengulangi kepentingan mencapai keamanan dan berkata “tanpa keamanan yang adil dan mampan, slogan yang dilaungkan dalam protes tidak akan tercapai.”

Rakyat Sudan menyambut ulang tahun pertama protes yang meletus pada 19 Dis 2018.

Susulan tekanan protes itu, tentera Sudan pada 11 April telah menggulingkan bekas presiden Omar al-Bashir dan membentuk sebuah majlis ketenteraan untuk menjalankan urusan negara.

Pada akhir Ogos lalu, pihak tentera serta pembangkang Perikatan Kebebasan dan Perubahan, yang mengetuai protes itu, telah menubuhkan majlis kedaulatan dan kerajaan peralihan untuk memerintah Sudan selama 39 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.