
Tunjuk perasaan di Hong Kong berubah menjadi lebih konfrontasi pada musim perayaan walaupun pada awal bulan ini bandar itu mencapai semula keamanan, selepas banyak calon pro-demokrasi menang dalam pilihan raya tempatan.
Walaupun keputusan pilihan raya itu memalukan, pemimpin Hong Kong yang pro-Beijing tidak membuat konsesi baru terhadap tuntutan sebilangan besar rakyat bandar itu.
“Konfrontasi memang dijangkakan, tidak kira walaupun pada hari Krismas,” kata seorang pekerja restoran, Chan, 28, yang menyertai tunjuk perasaan di pusat beli-belah di daerah Mong Kok.
“Saya kecewa kerajaan masih tidak memberi maklum balas mengenai tuntutan kami. Kami terus keluar (memprotes) walaupun kami tidak mempunyai banyak harapan, “katanya.
Tiada pertempuran besar berlaku, namun dengan orang ramai yang berteriak memaki pihak polis, yang sebelum ini dituduh menggunakan kekerasan berlebihan, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata kepada mereka.
Polis menggambarkan kekecohan tersebut sebagai masih terkawal.
Ratusan penunjuk perasaan yang berpakaian serba hitam dan menggunakan topeng muka, turun di pusat beli-belah di sekitar bandar yang “diperintah” oleh China, dengan melaungkan slogan “Bebaskan Hong Kong, masa untuk kita revolusi!”
Polis menahan beberapa penunjuk perasaan di pusat beli-belah di daerah Sha Tin selepas mereka bertindak menyembur serbuk lada kepada pihak berkuasa.
Tunjuk perasaan di Hong Kong bermula dengan cadangan rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan penduduk bandar itu diheret ke tanah besar China untuk dibicarakan, namun kemudiannya dibatalkan.
Bantahan itu bagaimanapun berkembang kepada tuntutan demokrasi yang lebih luas dan siasatan bebas terhadap aduan mengenai kekerasan yang dilakukan oleh polis.
Protes antikerajaan yang berlarutan berbulan-bulan itu telah menyebabkan tanah bekas jajahan British tersebut berada dalam krisis terbesar dekad ini.