
Dengan menyatakan kesediaan untuk menyertai dialog itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pihaknya yakin kaedah tersebut akan memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis dan syak wasangka yang akhirnya mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia berbilang kaum
“PAS sebagai sebuah wadah politik yang ditubuhkan hampir 70 tahun lalu sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dan dialog dengan mana-mana pihak dalam semua perkara yang berkepentiangan awam, termasuk dengan MCA dan Dong Jiao Zong.
“Perkata ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan PAS malah tercatat dalam Perlembagaan PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Takiyuddin, PAS boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain bukan sahaja untuk memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam, tetapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat serta memastikan keharmonian antara semua kaum.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada awal Dis lalu bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Mahabbah PAS-MCA yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu.
Jawatankuasa itu, kata beliau, dianggotai oleh sebilangan pimpinan kanan PAS yang mempunyai latar belakang pelbagai, termasuk profesional dan agamawan.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selasa lalu, kedua-dua persatuan Dong Zong dan Jiao Zong yang mahu dikenali sebagai Dong Jiao Zong, menyatakan kesediaan mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan Mazlee Malik bagi menyelesaikan isu itu sebelum atau selepas 28 Disember ini.
Mereka bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kongres tertutup bagi membincangkan isu pembelajaran jawi yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini diteruskan atau tidak.
Dong Jiao Zong menjelaskan mereka menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak membantah tulisan jawi.