Bolehkah tali pinggang keledar ganti ‘carseat’ untuk kanak-kanak?

Bolehkah tali pinggang keledar ganti ‘carseat’ untuk kanak-kanak?

Ramai ibu bapa fikir penggunaan tali keledar dianggap sudah cukup menjamin keselamatan kanak-kanak.

Ramai yang memikirkan penggunaan tali pinggang keledar sudah memadai untuk kanak-kanak.

Pada pemikiran ibu bapa, ia sudah cukup menjamin keselamatan mereka dalam perjalanan menaiki kereta.

Malah ada yang memikirkan untuk lebih berjimat, jadi ibu bapa tidak perlu membeli kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) atau lebih popular sebagai “carseat” untuk kanak-kanak.

Namun tanggapan itu salah dan sememangnya tidak tepat kerana ia meletakkan risiko kecederaan lebih tinggi kepada anak-anak jika berlaku sebarang kemalangan.

Menurut Jurulatih Keselamatan Penumpang Kanak-kanak Penubuhan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), May Hwong, keselamatan anak-anak perlu diambil kira memandangkan sebanyak 43.8% kanak-kanak 1 hingga 4 tahun menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

“Ramai ibu bapa yang buat perkara seperti ini, kanak-kanak diletakkan di atas tempat duduk kereta, kemudian dipakaikan tali pinggang kepada mereka. Jadi tali pinggang tersebut akan terletak di perut dan leher kanak-kanak. Malah ada yang lebih kreatif, mereka letakkan tali pinggang di bahagian bahu itu ke belakang badan kanak-kanak tersebut.

“Jadi apabila kemalangan berlaku ia akan memberi kesan kepada anggota badan kanak-kanak, ini yang ramai terlepas pandang,” katanya pada majlis pelancaran tiga jenis kerusi keselamatan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebab itulah jelas May Hwong lagi “carseat” penting bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dalam perjalanan ke sesebuah destinasi.

Tambahnya, kanak-kanak juga perlu menggunakan “carseat” sehingga ketinggian mereka mencecah 135cm.

“Mereka tidak boleh duduk pada kerusi seperti orang biasa sehinggalah ketinggian mereka 135cm. Atas kesedaran itu, kerajaan dengan sokongan semua pihak mewajibkan pemakaian ‘carseat’ kepada semua kanak-kanak,” ujarnya.

Pelbagai jenis “carseat” yang dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding dulu dan turut mempunyai pelbagai pilihan lebih komprehensif untuk keselesaan kanak-kanak.

“Sekarang kita ada ‘booster’ yang dijual dengan harga yang berpatutan, ia lebih ringan dan berbentuk seperti ‘clutch’ dan kanak-kanak hanya duduk di atas ‘booster’ itu lalu dipakaikan tali pinggang keselamatan,” katanya.

Secara dasarnya, ibu bapa memang tidak berupaya untuk melindungi kanak-kanak dengan memegangnya secara kuat.

Dalam kemalangan dengan kadar kelajuan 48km sejam, kanak-kanak itu mungkin boleh tersepit antara badan ibu bapa dan dashboard kereta, atau tercampak daripada dakapan ibu bapa dan terus keluar daripada kereta.

Oleh sebab itu kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, sebelum ini berkata langkah baru itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.