
Menteri Kehakiman dan Pengerusi Majlis Kehakiman Tertinggi Sheikh Dr Walid Al-Samaani mengeluarkan pekeliling kepada semua mahkamah supaya menolak permohonan perkahwinan bagi mereka berusia bawah 18 tahun.
Semua permohonan bagi perkahwinan bawah umur akan dirujuk ke mahkamah khusus bagi melengkapkan formaliti selaras dengan Undang-undang Perlindungan Kanak-kanak dan ketika melaksanakan peraturan yang ditetapkan.
Arahan itu berdasarkan perenggan (16/3) peraturan-peraturan eksekutif Undang-undang Perlindungan Kanak-Kanak, yang mengatakan “sebelum memeterai perkahwinan seseorang harus memastikan berkahwin dengan individu bawah 18 tahun tidak akan membahayakannya dan mencapai kepentingan terbaiknya, lelaki atau perempuan.”
Pada Jan lalu, Arab Saudi meluluskan peraturan bagi mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah 15 tahun.
Keputusan itu dibuat selepas Majlis Shura kerajaan menyaksikan undian 2/3 daripada badan penasihat itu yang bersetuju dengan peraturan baru tersebut.
Perkahwinan kanak-kanak adalah perkara biasa di dunia Arab, dengan 1 daripada 7 kanak-kanak berkahwin sebelum berumur 18.
Bagaimanapun, peraturan baru itu mempunyai kelemahan apabila remaja di bawah umur 18 boleh berkahwin jika mendapat kebenaran dari mahkamah khusus.
Sebelum ini, Arab Saudi yang mengamalkan Islam ultra konservatif itu tidak mempunyai penetapan undang-undang bagi perkahwinan bawah umur.
Terdahulu, Majlis agama Islam Thailand buat pertama kalinya mengeluarkan arahan melarang perkahwinan kanak-kanak Islam bawah 17 tahun berikutan kemarahan orang ramai berhubung perkahwinan warganegaranya berusia 11 tahun dengan lelaki Malaysia berumur 41 tahun.
Peraturan baru Majlis Agama Islam Pusat Thailand (CICOT) itu diumumkan di masjid seluruh negara mulai 14 Disember tahun lalu.