Pemansuhan insentif khidmat kritikal tak jejas penerima sedia ada

Pemansuhan insentif khidmat kritikal tak jejas penerima sedia ada

JPA berkata, pemansuhan BIPK hanya melibatkan kakitangan baru yang dilantik mulai 1 Jan depan.

JPA berkata, kajian terbaru tahun ini mendapati semua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal, termasuk doktor dan jururawat.
PUTRAJAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, pemansuhan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) hanya melibatkan kakitangan baru yang dilantik mulai 1 Jan depan.

Katanya, penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dan akan terus menikmati pembayaran BIPK secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.

“Bagi pegawai yang berkhidmat secara kontrak, sekiranya tarikh tamat kontrak dan pelantikan semula melalui kontrak baru pegawai adalah secara terus-menerus dan tidak terputus tempoh perkhidmatannya, maka pegawai masih layak terus menerima BIPK dalam perkhidmatan kontraknya,” kata JPA dalam kenyataan hari ini selepas maklumat tersebar di media sosial semalam yang mempersoalkan pemansuhan BIPK.

JPA berkata, walaupun beberapa elaun termasuk BIPK sudah dimansuhkan, kajian elaun sentiasa dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa.

Katanya, JPA dan kerajaan masih mempertimbangkan pemberian elaun jika ada skim perkhidmatan atau disiplin tertentu yang memenuhi kriteria pemberian elaun ditetapkan.

BIPK mula diperkenalkan dalam Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 yang secara prinsipnya tahap kritikal sesuatu perkhidmatan akan berubah mengikut keadaan dan keperluan berdasarkan penawaran serta permintaan sesuatu disiplin perkhidmatan dalam pasaran semasa.

“Ini bermakna sesuatu perkhidmatan kritikal itu boleh berubah menjadi kurang kritikal dan juga sebaliknya. Atas hakikat ini, kajian dan penilaian teliti berterusan perlu bagi pelaksanaan perkhidmatan kritikal.”

Selaras laporan SSB itu juga, JPA berkata, kajian mengenai BIPK secara berterusan perlu dilaksanakan setiap 5 tahun bagi menentukan kewajaran pemberiannya.

“Dari segi prinsipnya, pemberian BIPK tidak kekal serta boleh ditarik balik apabila skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi kritikal.”

JPA berkata, sejak dilaksanakan 27 tahun lalu, hanya 3 kali kajian dilaksanakan iaitu pada 1997, 2001 dan 2007.

Katanya, kajian terbaru yang dilaksanakan pada 2019 mendapati semua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal, iaitu skim perkhidmatan tidak lagi kritikal kerana tidak lagi memenuhi kriteria ciri penawaran rendah serta pengisian jawatan sukar dilakukan.

Antara skim perkhidmatan tersebut ialah pegawai kawalan trafik udara, pegawai perubatan, pembantu perubatan, penerbit rancangan, arkitek, arkitek laut, jururawat, jurutera, jurutera laut, pegawai farmasi, pegawai perikanan, pegawai pergigian, pegawai undang-undang, pegawai penyelidikan serta juruukur bahan.

“Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan gambaran sebenar pelaksanaan BIPK kepada anggota perkhidmatan awam terlibat dan seterusnya dapat memberikan perkhidmatan lebih cemerlang kepada rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.