Kit Siang gesa polis siasat ‘Ustad Rempit’ dakwa Malaysia ditadbir komunis

Kit Siang gesa polis siasat ‘Ustad Rempit’ dakwa Malaysia ditadbir komunis

Veteran DAP itu turut menggesa polis mengambil tindakan terhadap Presiden Gamis, Saifullah Baiduri yang mendakwa rusuhan kaum pada 1969 mungkin berulang jika kerajaan tidak mengharamkan Dong Zong.

Sharkawi Ishak berucap pada sebuah program di Permatang Pasir minggu lalu mendakwa Malaysia ditadbir komunis yang ‘hanya menjaga kaum mereka dan mahu memusnahkan Malaysia’.
PETALING JAYA:
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa polis menyiasat penceramah Sharkawi Ishak di sebuah program anjuran PAS dan Umno di Pulau Pinang minggu lalu kerana mendakwa Malaysia ditadbir kerajaan komunis, susulan laporan polis PPBM dan Amanah.

Lim turut meminta polis mengambil tindakan terhadap Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Saifullah Baiduri yang mendakwa rusuhan kaum pada 1969 mungkin berulang jika kerajaan tidak mengharamkan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong.

“Jika Saifullah dan ustaz itu diberikan kekebalan untuk membuat kenyataan tidak berasas, bersifat menghasut dan tidak bertanggungjawab, menggalakkan kebencian, kesangsian, ketaksuban dan tidak bertoleransi di kalangan rakyat, Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara bersatu, demokratik dan maju, tetapi akan berdepan nasib sebuah negara gagal, mundur dan berpecah belah.”

Saifullah dipetik sebagai menggesa pihak berkuasa mengharamkan Dong Zong kerana ia adalah “pertubuhan yang menjadi nanah kepada perpaduan rakyat serta membawa doktrin anti-nasional dalam kalangan masyarakat Cina”.

“Selagi pertubuhan ini masih bertapak, pihak berkuasa seakan merestui sejarah hitam 13 Mei 1969 berulang kembali,” katanya dalam kenyataan dimuat naik ke Facebook semalam.

Dong Zong antara kumpulan pendidikan Cina yang membantah tindakan kerajaan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Sharkawi yang lebih dikenali sebagai “Ustad Rempit” dalam ceramah di sebuah program anjuran Muafakat Nasional, kerjasama Umno-PAS di Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 20 Dis lalu berkata, Malaysia ditadbir komunis yang “hanya menjaga kaum mereka dan mahu memusnahkan Malaysia”.

Susulan itu, Amanah Pulau Pinang dan PPBM Terengganu membuat laporan polis berasingan terhadap Sharkawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.