Ibu 8 anak fobia menderma selepas suami dituduh bantu pengganas

Ibu 8 anak fobia menderma selepas suami dituduh bantu pengganas

Sikap Zulkifli Shafie yang suka menderma memakan diri apabila tanpa disedari menyalurkan wang kepada rakan lamanya, seorang militan IS.

Najdah Mohammed Hussain menunjukkan keratan luahan suaminya, Zulkifli Shafie sewaktu ditahan pihak berkuasa.
CYBERJAYA:
Seorang suri rumah fobia untuk menderma kepada mana-mana individu atau kumpulan, selepas suaminya diheret ke mahkamah dan dipenjarakan kerana memberi sumbangan kepada rakan lamanya.

Najdah Mohammed Hussain, 38, berkata, sikap suaminya, Mohd Zulkifli Shafie, 39, suka membantu masyarakat dan menderma memakan diri apabila tanpa disedari rakannya itu seorang militan IS.

Katanya, suaminya mudah menolong orang tidak kira dalam bentuk kewangan mahu pun tenaga. “Jika dia tidak dapat beri banyak, dia pasti akan bagi RM10, dia jenis tidak berkira dan tidak selidik sampai mendalam.”

“Bahkan, ada kawannya yang tidak cukup wang untuk kahwin pun, dia sanggup untuk berikan duit. Namun selepas suami ditahan, memang fobia,” katanya kepada FMT.

Najdah berkata sejak suaminya ditahan, dia akan menolak mana-mana ejen rumah kebajikan yang datang mendekatinya.

“Terpulanglah jika ada yang kata saya berlagak atau sombong dan sebagainya. Bahkan jika ada yang saya kenali minta derma pun saya takut,” katanya.

Zulkifli dituduh menyalurkan dana kepada Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, bekas pemain drum kumpulan muzik era 90-an yang disahkan maut dalam serangan udara tentera Rusia di Syria Mac lalu.

Aquil dipercayai menyertai militan IS pada 2014. Zulkifli mengenalinya semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan pada 1998.

Ketika ini, suami Najdah dijatuhi hukuman 3 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bermula dari tempoh ditahan sejak 30 Okt 2018.

Zulkifli didapati bersalah mengikut Sekysen 130Q(1) Kanun Keseksaan kerana menyalurkan dana sebanyak RM200 melalui akaun bank kepada anggota militan.

 

Tak sangka dia IS

Semuanya bermula apabila Aquil menghubungi suaminya menerusi Facebook, mendesak Zulkifli memasukkan wang ke satu akaun individu.

“Suami ceritakan pada saya, Aquil memberitahunya dia ketika itu pergi ke Syria dan meminta bantuan kewangan.

“Tetapi suami sebagai rakan lamanya, takkanlah mahu siasat perkara untuk tujuan apa, seperti yang polis lakukan. Memang tidak sangka Akel pengganas IS,” katanya.

Selepas suaminya ditahan, polis menunjukkan kepada Najdah komunikasi Zulkifli dengan Aquil dalam aplikasi perbualan.

“Selepas suami berikan wang itu, dia langsung tidak buka lagi aplikasi berkenaan dan sebarang mesej yang dihantar Aquil langsung suami tidak membaca dan menjawabnya,” katanya.

Menurut Najdah, polis menunjukkan Aquil ada menghantar banyak video berkaitan IS kepada suaminya menerusi aplikasi perbualan itu.

“Alhamdulillah suami tidak tetapkan ‘auto download’, kerana nanti akan dituduh pula memiliki bahan berkaitan IS. Memang suami langsung tidak jawab mesej dari Aquil,” katanya.

Mohd Zulkifli Shafie didapati bersalah memberikan sumbangan sebanyak RM200 kepada rakan lamanya, yang kemudian didapati seorang militan.

Suami pendidik kewangan

Najdah berkata suaminya tidak mengikut sebarang ideologi militan, sebaliknya amat suka kepada perniagaan. Suri rumah ini berkata suaminya fokus kepada penjualan emas dan pengurusan kewangan, dan pernah menerbitkan 2 buku berkaitan kewangan.

“Fokus dia mendidik lebih ramai orang ke arah kewangan. Suami memang sangat sibuk hinggakan tidak ada masa untuk menonton televisyen, dunianya berkaitan perniagaan. Kalau bersembang dengan saya juga mengenai perniagaan,” katanya.

Mereka sekeluarga juga tidak pernah tahu tentang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, undang-undang kontroversi yang menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan.

“ISA pernah lah dengar,” kata Najdah, merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri yang digantikan Sosma.

“Kalau suami tidak dituduh, memang saya tidak tahu ia adalah apa. Perkataan Sosma pun tidak pernah dengar,” katanya.

Mengakui bersalah kerana tak tahan

Najdah berkata suaminya pada November memutuskan untuk mengaku bersalah kerana tidak tahan terlalu dalam penjara.

Menurut suri rumah ini, suaminya akan berada lebih lama dalam penjara sekiranya terus menolak tuduhan terhadapnya.

“Mula-mula memang mahu lawan sebab yakin tidak melakukan sebarang kesalahan. Kemudian apabila tengok kes terdahulu, ada tahanan yang lawan di Mahkamah Tinggi, walaupun menang pendakwa raya akan tetap mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

“Walaupun sudah menang di Mahkamah Tinggi, akan kembali semula ke penjara, menunggu tarikh perbicaraan untuk ke Mahkamah Rayuan. Jadi, apabila tengok macam itu, menang juga tidak bebas. Lainlah kalau lawan apabila menang, sudah boleh balik rumah, itu tidak mengapa,” katanya.

Najdah berkata kehidupannya bersama 8 cahaya mata amat berbeza sekarang sejak suami ditahan pada Oktober tahun lalu.

Suri rumah ini berkata banyak perkara tergendala kerana terpaksa memikul tanggungjawab suami disamping tanggungjawab sendiri.

“Anak ke-6 saya menghidap autisme, suami yang uruskan tetapi tidak sempat dapat kad Orang Kurang Upaya (OKU), dia sudah masuk ke dalam,” katanya.

“Anak ke-7 pula, tahun ini tidak ke sekolah kerana pergerakan saya terbatas. Manakala, anak yang seorang lagi pula tidak masuk ke pra-sekolah sebab memang saya tidak sempat untuk menguruskannya.”

Selepas hampir setahun suaminya dipenjarakan, Najdah masih cuba berfikiran positif dan menganggap setiap kejadian yang berlaku ujian Allah.

Najdah berkata di sisi kerajaan, suaminya sudah melakukan kesalahan tetapi bagi keluarga yang tidak tahu kesalahan apa yang dilakukan, “saya boleh katakan ia satu kesilapan”.

“Namun saya tetap yakin, Allah uji sebabnya Allah sayang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.