Tulisan Jawi: Dong Jiao Zong setuju gesaan Anwar kembali ke ruang dialog

Tulisan Jawi: Dong Jiao Zong setuju gesaan Anwar kembali ke ruang dialog

Namun ia tidak menyatakan sama ada akan akur kepada gesaan tidak meneruskan kongres pada 28 Disember ini.

Anwar Ibrahim sebelum ini menggesa kumpulan pendidikan Cina Dong Zong tidak meneruskan kongres berkaitan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular.
PETALING JAYA:
Dong Jiao Zong mengalu-alukan gesaan Anwar Ibrahim supaya semua pihak kembali ke ruang dialog untuk berbincang mengenai isu tulisan Jawi di sekolah vernakular, namun tidak menyatakan sama ada akan akur kepada gesaan tidak meneruskan kongres pada 28 Disember ini.

Kumpulan pendidikan Cina itu berkata, pihaknya sedia berbincang dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan pelbagai pertubuhan lagi bagi menyelesaikan isu tulisan jawi secara rasional sebelum atau selepas 28 Disember ini.

“Dong Jiao Zong mengalu-alukan keprihatinan Anwar mengenai isu pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Dong Jiao Zong sependapat dengan cadangan Anwar iaitu menyelesaikan isu tulisan Jawi melalui dialog.

“Dong Jiao Zong menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak membantah tulisan Jawi. Dong Jiao Zong setuju dengan isu kandungan buku teks mata pelajaran bahasa Melayu di SJK tahun 5 sedia ada yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk tulisan Jawi.

“Kami sedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum atau selepas 28 Disember 2019, termasuk Maszlee dan pertubuhan pelbagai kaum untuk bermuzakarah dan menyelesaikan isu tulisan Jawi secara rasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar menggesa kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan pertubuhan Melayu lain tidak meneruskan dengan kongres berkaitan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Kontroversi membabitkan tulisan Jawi dikhuatiri akan menambah dan menghangatkan suhu politik dalam negara dan antara kaum.

Dong Zong dilaporkan akan menganjurkan kongres pada 28 Dis ini bagi membantah pengenalan pembelajaran tulisan Jawi kerana didakwa bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Sebelum ini, kebimbangan sama turut disuarakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan tindakan Dong Zong menganjurkan himpunan itu akan berdepan dengan “reaksi” orang Melayu.

Menurut Mahathir, tindakan Dong Zong itu hanya akan menyebabkan orang Melayu mengadakan kongres mereka pula dan bercakap mengenai penutupan sekolah Cina.

Hari ini, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH) menegaskan kongres itu merupakan mesyuarat perundingan, bukannya perhimpunan atau menimbulkan pertikaian antara kaum.

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Ong Seng Khek berkata perhimpunan itu juga bertujuan mencari penyelesaian kepada kebimbangan bahawa pengajaran itu boleh membawa kepada Islamisasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.