
Fuziah Salleh berkata kerajaan negeri sepatutnya menggunakan cara rundingan dan situasi menang-menang terhadap 60 pekebun di Sungai Ichat itu sebelum merobohkan kebun mereka.
“Tindakan kerajaan negeri Pahang menggunakan keganasan ke atas pekebun sayur di Cameron Highlands amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku.
“Saya ambil maklum kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan air namun adalah lebih berperikemanusiaan untuk menunggu hasil kebun mereka dituai dahulu sebelum pindahkan mereka secara rundingan dengan baik ke atas lot yang dikenalpasti.
“Tambahan pula waktu ini merupakan musim perayaan dan anak-anak mereka akan mula bersekolah. Tentu sekali hasil tuaian mereka diperlukan untuk membiayai persekolahan awal tahun anak-anak mereka nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, pada 10.30 pagi kira-kira 200 orang berhimpun di jalan masuk ke Jalan Ipoh, Kuala Terla hingga menyebabkan kesesakan lalulintas dipercayai untuk menghalang tindakan perobohan ke atas kebun haram di situ.
Tular klip video beberapa individu dipercayai pekebun membantah tindakan perobohan kebun haram di Sungai Ichat, Kuala Terla dengan duduk di tengah jalan hingga menimbulkan ketegangan apabila mereka enggan bersurai dan ditangkap polis.
Fuziah berkata kerajaan negeri sepatutnya mengenalpasti tanah untuk dipajak jangka masa panjang oleh pekebun sayur yang bercucuk tanam secara kecil- kecilan ini.
“Supaya mereka boleh melabur dengan peralatan sewajarnya untuk hasil yang lebih baik serta demi pembangunan ekonomi negara.
“Mereka juga boleh dilatih untuk menggunakan teknologi moden, amalan pertanian baik serta elak daripada menggunakan racun terlarang dan sebagainya,” katanya.
Semalam, seramai 7 lelaki ditahan polis selepas cuba menghalang laluan jentera untuk kerja merobohkan kebun haram di Sungai Ichat.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Sallehuddin Ishak berkata tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak 2009.
Katanya, 11 penerokaan haram terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan bagi peringkat kedua melibatkan kawasan seluas 121 hektar di mana 24 hektar bagi peringkat pertama dan 97 hektar bagi peringkat kedua.
Difahamkan, notis mengosongkan tanah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009 namun aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan dan notis selanjutnya dikeluarkan pada 18 Februari lalu sebelum tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan dilaksanakan 25 Februari sehingga 19 Mac.
Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin dikeluarkan pada 14 Mac 2019.