
Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail berkata, mana-mana pihak yang menyalahgunakan masjid di sekitar Wilayah Persekutuan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
“Semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan politik adalah dinasihatkan agar sentiasa memastikan masjid sebagai institusi kesejahteraan ummah terpelihara.
“(Ini) selaras dengan konsep masjid RAHMAH (Ramah, Aman, Hamoni, Mesra, Alami, Hormat),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Mufti Wilayah Zulkifli Mohamad menggesa Jawi menguatkuasakan peraturan melarang majlis berkaitan sumpah laknat melibatkan kepentingan awam atau kes dibicarakan di mahkamah dilakukan di masjid.
Menurut Zulkifli, larangan itu wajar dilakukan bagi mengelakkan institusi masjid dimanipulasi, memandangkan pada ketika ini wujud institusi mahkamah untuk menyelesaikan isu berkaitan perundangan.
Zulkifli tidak menamakan mana-mana pihak, namun kenyataan itu dibuat merujuk tindakan bekas perdana menteri Najib Razak pada Jumaat lalu yang bertindak melafazkan sumpah laknat.
Najib dalam sumpah laknatnya menafikan memberikan apa-apa arahan kepada bekas pegawai polis Azilah Hadri atau mana-mana pihak untuk membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Najib melafazkan sumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru disaksikan isterinya, Rosmah Mansor, anak mereka, Nooryana Najwa Najib dan lebih kurang 500 orang lain selepas selesai salat Jumaat.
Bekas perdana menteri itu bertindak sedemikian bagi menafikan dakwaan dalam akuan berkanun Azilah, seorang bekas komando Unit Tindakan Khas, yang mengaitkan beliau dengan kematian Altantuya.
Altantuya dibunuh pada Okt 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.