
Arumugam AV Pillai berkata sebagai wakil MIC di Pahang beliau berasa dirinya gagal membantu mencari penyelesaian terbaik kepada 60 pekebun yang terlibat.
“MIC mula berunding dengan kerajaan negeri untuk cari jalan penyelesaian terbaik berhubung tindakan perobohan kebun ini dan apabila menteri besar (Wan Rosdy Wan Ismail) tak dapat selesaikan masalah ini, saya sebagai wakil MIC Pahang gagal, jadi saya kena ambil tanggungjawab.
“Sebagai tanda protes saya dan 11 ahli majlis letak jawatan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi, hari ini.
Kira-kira jam 10.30 pagi tadi, 200 orang berhimpun di jalan masuk ke Jalan Ipoh, Kuala Terla hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Klip video tular menyaksikan beberapa individu dipercayai pekebun membantah tindakan perobohan kebun haram di Sungai Ichat, di situ dengan duduk di tengah jalan hingga menimbulkan ketegangan apabila mereka enggan bersurai.

Arumugam berkata, ketika protes pagi tadi, petani yang hadir hanya mampu menangis apabila mereka gagal menghalang tindakan perobohan tersebut.
Dalam pada itu, Arumugam berkata, pihaknya mengharapkan Wan Rosdy memberi jalan keluar terbaik kepada 60 pekebun tersebut dengan mengurniakan lokasi baru untuk meneruskan aktiviti pertanian.
Sementara setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla itu adalah berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.
Katanya, sebanyak 11 penerokaan haram terlibat bagi peringkat pertama dan 37 penerokaan bagi peringkat kedua dengan keseluruhan kawasan terlibat seluas 121 hektar dan 24 hektar bagi peringkat pertama sementara 97 hektar bagi peringkat kedua.
“Notis mengosongkan tanah telah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009, namun aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan dan notis selanjutnya dikeluarkan pada 18 Feb lalu sebelum tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan dilaksanakan pada 25 Feb sehingga 19 Mac.
“Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin telah dikeluarkan pada 14 Mac 2019,” katanya.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.
“Kerajaan negeri sentiasa memastikan segala tindakan penguatkuasaan yang telah dan akan diambil mematuhi segala perundangan yang berkuatkuasa serta berlandaskan ‘rule of law’.
“Buktinya tindakan meroboh yang dilaksanakan di Sungai Ichat sebelum ini dihentikan apabila peneroka memperolehi perintah injunksi interim bertarikh 11 Mac 2019 daripada Mahkamah Tinggi Kuantan.
“Bagaimanapun plaintif dalam saman pemula ini telah menarik balik permohonan mereka di mahkamah dan memberhentikan tindakan saman tersebut pada 30 Sept 2019,” katanya.
Katanya lagi, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkunjung ke kawasan tersebut pada 7 Sept lalu turut menitahkan agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla, khususnya di Sungai Ichat.
Bagi memastikan kawasan tadahan air Kuala Terla terus terpelihara, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 13 Mac 2019 meluluskan pewartaan kawasan terbabit seluas 121.12 hektar sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat.
“Loji air Kuala Terla adalah loji air yang terpenting dan terbesar menyalurkan lebih 70% kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands melibatkan 8,332 akaun.
“Aliran air mentah kini sudah tidak mampu menampung keperluan semasa dan pembangunan akan datang di Cameron Highlands buat masa terdekat ini.
“Bagi meningkatkan lagi jumlah aliran air mentah, maka air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan. Berdasarkan pemantauan Perbadanan Air Pahang (PAIP) kualiti air di Sungai Ichat mula pulih selepas tindakan penguatkuasaan diambil dan kerja-kerja pembersihan dilakukan hampir setiap minggu oleh pihak PAIP,” katanya.