Protes roboh kebun haram, Cameron Highlands sesak hingga 1 jam

Protes roboh kebun haram, Cameron Highlands sesak hingga 1 jam

Seramai 7 individu, termasuk pekebun dan seorang ahli politik ditahan polis selepas enggan bersurai dalam protes perobohan kebun haram di Kuala Terla, pagi tadi.

Polis berunding dengan kumpulan yang memprotes tindakan penguatkuasaan perobohan kebun haram di Kuala Terla, Cameron Highlands hari ini, tetapi gagal sehingga tindakan menyurai dan menangkap terpaksa dilakukan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jalan Ipoh, Kuala Terla di Cameron Highlands sesak selama 1 jam gara-gara sekumpulan 200 orang, termasuk pekebun melakukan protes terhadap tindakan penguatkuasaan perobohan kebun haram di Sungai Ichat, jam 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Ashari Abu Samah berkata usaha rundingan polis selama 1 jam dengan pekebun tersebut gagal sehingga memaksa anggotanya bertindak menyuraikan kumpulan itu.

“Keadaan menjadi kecoh apabila mereka enggan bersurai, mereka bawa wanita, anak-anak bawah 15 tahun, ada juga umur 5 tahun, 6 tahun duduk atas jalan raya sampai berlaku kesesakan luar biasa di Cameron Highlands.

“Dalam tempoh 1 jam saya berunding dengan mereka sampai tahap tak boleh nak berunding dah dan kita terpaksa suraikan mereka supaya jalan boleh dilalui kenderaan.

“Itu yang jadi kecoh tapi tak lama, (kecoh) dalam 20 minit sahaja. Apabila kita sudah buat tangkapan terhadap 7 lelaki dewasa, mereka bersurai,” katanya kepada FMT ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, 6 lelaki tersebut merupakan pekebun, manakala seorang lagi ahli politik, namun kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Hari ini, tular video yang menunjukkan polis dan orang ramai di suatu tempat dengan latar belakang jentera berat dan keadaan bertukar kecoh apabila polis menahan beberapa individu yang duduk di tengah jalan.

Difahamkan 60 pekebun yang terlibat bersama ahli MIC berkumpul dan melakukan protes duduk di Jalan Ipoh bagi menghalang jentera untuk kerja perobohan kebun di Sungai Ichat masuk ke kawasan tersebut.

Sehubungan itu, Ashari menasihatkan kesemua pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan perobohan itu agar menggunakan saluran yang betul.

Fasa kedua tindakan penguatkuasaan yang bermula hari ini hingga 3 Jan depan melibatkan kawasan seluas 121 hektar yang membabitkan 11 penerokaan haram.

Sementara itu, setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Sallehuddin Ishak dalam satu kenyataan hari ini menegaskan tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram di kawasan tadahan air Kuala Terla itu berlandaskan kepentingan umum bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingan rakyat sentiasa dipelihara.

Katanya, notis pengosongan tanah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009 namun aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan dan notis selanjutnya dikeluarkan pada 18 Feb lalu sebelum tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan dilaksanakan pada 25 Feb sehingga 19 Mac.

Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin dikeluarkan pada 14 Mac 2019.

Tindakan diambil di bawah peruntukan Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara 1965 kerana menduduki tanah kerajaan tanpa izin sejak tahun 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.