Peguam bidas peruntukan Sosma beri lebih kuasa kepada pendakwaan

Peguam bidas peruntukan Sosma beri lebih kuasa kepada pendakwaan

Salim Bashir berkata mereka yang ditahan di bawah Sosma terus ditahan walaupun dibebaskan oleh mahkamah, tidak seperti tertuduh yang dibebaskan daripada kesalahan besar lain seperti pembunuhan dan pengedaran dadah.

Anggota polis berkawal di Penjara Sungai Buloh semasa protes terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa peguam menggesa kerajaan memansuhkan peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membolehkan tertuduh terus ditahan walaupun dibebaskan oleh mahkamah.

Salim Bashir berkata penahanan sedemikian boleh dianggap tidak menghormati keputusan mahkamah, terutama dalam kes-kes yang melibatkan kesalahan jenayah terancang dan keganasan.

“Tertuduh yang didapati tidak bersalah berhak dibebaskan walaupun sebelum itu mereka direman kerana gagal membayar jaminan,” katanya kepada FMT.

Gesaannya itu susulan kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang berkata partinya akan terus menekan pemansuhan peruntukan drakonian dalam Sosma.

Seksyen 30 akta itu membolehkan pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh terus ditahan sementara menunggu rayuan, yang boleh dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Salim berkata ia tidak adil kepada individu, yang boleh dipenjarakan sampai 3 tahun sehingga proses undang-undang selesai.

“Bandingkan perkara ini dengan tertuduh yang dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan atau pengedaran dadah, yang membawa hukuman mati.

“Mereka dibebaskan sementara pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan pembebasan mereka,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini bahawa hakim boleh mempertimbangkan permohonan jaminan terhadap mereka yang dituduh dengan kesalahan keselamatan di mana prosedur Sosma digunakan.

Dalam keputusan pada 29 Nov, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan cabaran Perlembagaan yang dibawa oleh Exco Melaka, G Saminathan, yang didakwa bersama 11 orang lain kerana menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Nazlan berkata Seksyen 13 Sosma adalah “ultra vires” Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan kerana mengeluarkan budi bicara hakim untuk mempertimbangkan permohonan jaminan.

Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata jaminan perlu diberikan kepada semua 12 individu tersebut walaupun didakwa mempromosikan keganasan.

“Pertama, LTTE diisytiharkan tidak berfungsi sejak 2009. Selain itu, tiada bukti konkrit yang disediakan pihak polis setakat ini,” katanya.

Dalam kes jenayah, beliau berkata, pembebasan tertuduh juga sangat penting, kerana mereka tidak diberi pampasan jika didapati tidak bersalah atas pertuduhan terhadap mereka.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata peruntukan lain dalam Sosma yang memberikan pihak pendakwaan lebih kuasa dalam mendapatkan sabitan dan menafikan perbicaraan adil terhadap defendan, juga perlu dikaji semula.

Beliau berkata Sosma membenarkan pendakwa raya menggunakan saksi yang dilindungi memberi keterangan dari luar mahkamah.

“Pihak pembelaan tidak boleh melakukan pemeriksaan balas yang berkesan kerana saksi tidak berada di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata Sosma juga membenarkan maklumat sensitif dan dipintas sebagai bukti, dan mengambil keutamaan ke atas prosedur undang-undang lain seperti Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan sekiranya berlaku konflik dalam undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.