Jangan bimbang, kata Modi kepada penduduk Islam di India

Jangan bimbang, kata Modi kepada penduduk Islam di India

Beliau mendakwa kewujudan pusat tahanan sebagai pembohongan sedangkan terdapat 6 pusat tahanan di Assam.

Penunjuk perasaan di Bangalore menentang undang-undang kewarganegaraan baru yang diperkenalkan Perdana Menteri India Nahendra Modi. (Gambar AFP)
NEW DELHI:
Perdana Menteri Narendra Modi memberi jaminan kepada penduduk Islam di India supaya tidak berasa bimbang dengan undang-undang kewarganegaraan baru sekiranya mereka sememangnya rakyat asal negara itu.

“Penduduk Islam yang merupakan anak kepada tanah ini dan nenek moyang mereka yang merupakan anak kepada ibu India tidak perlu bimbang,” kata Modi, 69.

Beliau berkata, parti pembangkang utama, Kongres telah menyebarkan khabar angin bahawa semua penduduk Islam akan dihantar ke kem tahanan.

“Tidak ada pusat tahanan, semua cerita tentang pusat tahanan ini adalah bohong, bohong dan bohong,” katanya.

Undang-undang kewarganegaraan baru di India mencetuskan protes keganasan dan meletakkan pemerintahan nasionalis Hindu di bawah tekanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di negara itu.

Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban dalam tempoh hampir 2 minggu akibat demonstrasi yang bertukar menjadi ganas selepas kerajaan Modi meluluskan undang-undang yang disifatkan sebagai anti-Islam.

Walaupun Modi menafikan tentang kem tahanan, Assam, sebuah negeri timur laut India mempunyai 6 pusat tahanan yang menempatkan lebih daripada 1,000 pendatang haram, dan didakwa sedang merancang untuk mewujudkan 11 lagi kem tahanan sama.

Modi juga berkata tiada perbincangan mengenai “pendaftaran rakyat” di seluruh negara, yang mana penduduk Islam bimbang ia disasarkan kepada mereka.

Pada tahun ini, seramai 1.9 juta penduduk di Assam tidak didaftarkan apabila gagal membuktikan bahawa mereka atau nenek moyang mereka tinggal di negara ini sebelum 1971. Mereka kini berdepan kemungkinan tiada kewarganegaraan.

Kerajaan di bawah pentadbiran modi, yang dipilih semula pada Mei lalu, mempertahankan undang-undang kewarganegaraan tersebut dengan mengatakan ia bertujuan membantu golongan minoriti yang “dianiaya” majoriti pendatang Islam dari Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.