
“Seperti diketahui umum, Felda bukan sebahagian daripada portfolio saya semasa berkhidmat sebagai menteri kewangan II,” kata Johari selepas beliau dikritik Kadir kerana menuduh dasar Pakatan Harapan (PH) gagal.
“Jika ia (portfolio saya), saya tidak fikir urus niaga itu akan diteruskan,” Johari memberitahu FMT.
Pemilik EHP, Kumpulan Rajawali Indonesia menjual 37% pegangannya dalam syarikat peladangan itu kepada Felda.
Pada Apr tahun lepas, Felda membuat laporan polis mendakwa pembelian itu dipaksa oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan pemimpin kanan kerajaan melalui satu pinjaman kerajaan.
Najib mempertahankan urus niaga itu dengan berkata, Felda boleh menarik diri daripada pembelian itu pada bila-bila masa dengan menggunakan opsyen put dengan meminta Rajawali membeli balik saham tersebut dan membayar faedah sebanyak 6%.
Johari hari ini berkata, pihak berkuasa boleh menyiasat perkara itu sepenuhnya.
“Saya akan berikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan,” katanya.
Johari berkata, Kadir sepatutnya menjawab isu spesifik yang dibangkitkannya apabila beliau mengkritik kerajaan PH, bukannya menimbulkan perkara yang bersifat memfitnah.
“Saya memandang serius apa-apa dakwaan yang bertujuan menggambarkan saya mempunyai peranan dalam pembelian EHP,” katanya.
“Sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas komunikasi, Kadir harus tahu bagaimana untuk memberi respons secara intelektual, iaitu dengan fakta.”
Johari dalam satu artikel pendapat yang diterbitkan dalam The Edge Sabtu lepas bercakap tentang “isu teras” yang memberi kesan kepada ekonomi, termasuk perdana menteri selepas ini, pusingan U kerajaan dan proses pembuatan keputusan Putrajaya yang kabur.
“Dalam skala 1-10, pencapaian kerajaan PH adalah di bawah par dalam bidang tertentu, iaitu ekonomi, pembangunan, dasar, fokus dan sebagainya. Tetapi dari sudut governans, ia lebih baik. Barangkali ia telah belajar daripada kesilapan lampau,” katanya.