
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, syarikat pemberi pinjaman wang di bawah KPKT hanya boleh mengenakan kadar faedah 12% dengan cagaran dan 18% tanpa cagaran.
“Kalau betul, ada aduan, ada laporan, kita akan ambil tindakan. Tak jadi masalah kalau betul. Setakat ini memang tidak ada laporan, tapi tak tahu kebelakangan ini mungkin ada.
“Bila saya jawab di Parlimen belum ada kes begitu, kalau ada kita harus bertindak dan KPKT akan ambil tindakan dan kita ada unit polis kita sendiri,” katanya kepada pemberita di kejohanan bola sepak Piala Zuraida Kamaruddin, di Tasik Tambahan di sini hari ini.
Pada April, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjenamakan semula syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen sebagai syarikat Kredit Komuniti.
Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, syarikat Kredit Komuniti, yang berdaftar dengan KPKT dikehendaki menukar papan tanda masing-masing mengikut logo baru yang ditetapkan bermula tahun 2020.
Katanya, majoriti syarikat tersebut masih belum menukar papan tanda dengan alasan hanya akan berbuat demikian selepas proses memperbaharui lesen syarikat masing-masing dilakukan.
“Kita faham ada di antara syarikat yang menunggu lesen mereka ‘mati’ baru nak tukar papan tanda, selepas memperbaharui lesen syarikat, jadi sebab itu ada yang lewat.
“Selepas kita teliti, bermula 2020 mereka kena terus tukar dan tidak perlu lagi menunggu sehingga tarikh memperbaharui lesen, baru nak berbuat demikian,” katanya
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berhubung daripada lebih 4,000 syarikat Kredit Komuniti yang berdaftar dengan KPKT, hanya 11 yang telah menukar papan tanda seperti diarahkan.
Pada April lepas, semua 4,115 PPW yang berdaftar diberi tempoh 3 bulan untuk menukar papan tanda mengikut logo baru yang ditetapkan, antaranya bertujuan membezakannya dengan syarikat tidak berdaftar bagi mengelak pengguna terpedaya.