
NEW DELHI/MUMBAI: Lebih 1,500 penunjuk perasaan ditahan serata India dalam tempoh 10 hari lalu, kata pegawai kerajaan, ketika polis cuba menyuraikan tunjuk perasaan yang kadang-kadang bertukar ganas terhadap undang-undang kewarganegaraan yang menurut pengkritik melemahkan perlembagaan sekular negara itu.
Selain itu, kira-kira 4,000 orang ditahan dan kemudian dibebaskan, kata pegawai kerajaan.
Mereka yang ditangkap dan ditahan kerana menggunakan keganasan semasa menunjuk perasaan, kata 2 pegawai kerajaan persekutuan yang menyelia keselamatan dalam negeri India dan minta nama dirahsiakan.
Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan sejak parlimen meluluskan undang-undang itu pada 11 Dis. Pengkritik berkata undang-undang itu mendiskriminasikan orang Islam dan mengancam etos sekular India kerana ia menjadikan agama kriteria untuk kewarganegaraan.
Undang-undang itu bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada minoriti Hindu, Buddha, Kristian, Sikh, Jain dan Parsi daripada negara-negara majoriti Islam seperti Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh yang dianggap mengalami penindasan. Pemohon harus memasuki India sebelum atau pada 31 Dis 2014.
Ratusan penunjuk perasaan dan polis tercedera dalam tunjuk perasaan itu, penentangan terkuat terhadap kerajaan nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi sejak 2014.
Modi bertemu jemaah menterinya semalam bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan berhubung tunjuk perasaan itu, kata sumber kerajaan.
Tunjuk perasaan berterusan semalam disebalik perintah berkurung dan langkah-langkah keras untuk menghalang tunjuk perasaan.
Negeri Uttar Pradesh menyaksikan keganasan paling teruk dengan 9 orang tebunuh dan beberapa lagi di hospital dalam keadaan kritikal.
Aktivis hak asasi di negeri itu berkata polis menyerbu rumah-rumah dan pejabat-pejabat bagi menghalang mereka merancang tunjuk perasaan. Pihak berkuasa juga menutup sekolah-sekolah di serata negeri itu.
Lebih banyak tunjuk perasaan dirancang di negeri-negeri lain, termasuk Assam. Perasaan geram terhadap pendatang haram daripada Bangladesh mendidik sejak bertahun di Assam, di mana sesetengah penduduk menuduh orang luar, Hindu atau Islam, mencuri pekerjaan dan tanah.
Penentangan terhadap undang-undang itu termasuk ketua-ketua negeri yang berkata mereka akan menghalang pelaksanaannya di negeri masing-masing. Kerajaan berkata tiada peluang undang-undang itu akan dimansuhkan.
Semalam, pertubuhan sayap kanan Hindu dan ahli-ahli akademik menyatakan sokongan terhadap undang-undang itu. Lebih 1,000 profesor dan sarjana mengucapkan tahniah kepada parlimen dan kerajaan untuk undang-undang progresif yang membela minoriti-minoriti yang dilupakan.