
Berbekalkan semangat dan dorongan kawan dan guru-guru, Ikhwan yang pernah menghidap leukemia, berjaya mendapat 5A 1B, yang melayakkannya menyambung persekolahan Tingkatan 1 di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang.
“Sakit yang saya alami tidak menganggu pembelajaran saya, lagipun di rumah memang saya suka belajar. Saya pun tak sangka dapat keputusan yang baik ini,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang arkitek.
Menurut bapanya, Aries Iskandar Muhammed, 45, anak bongsunya itu, daripada 4 adik-beradik, dikesan menghidap penyakit itu sewaktu berusia 5 tahun.
“Ia menyebabkan kami terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan, sehingga dia lewat 2 tahun memasuki sekolah, namun semangatnya kuat dan saya sendiri tidak sangka dia dapat keputusan peperiksaan membanggakan,” katanya kepada pemberita selepas program Back to School KIDS 2019 semalam.
Walaupun Ikhwan sudah pulih daripada penyakitnya, dia masih perlu mendapat rawatan susulan setahun sekali.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, yang juga tokoh akademik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) Untuk Murid Berkeperluan Khas, Nur Sarah Iman Suhaimi, 12, tidak menjadikan kanser otak yang dialaminya sebagai alasan berhenti belajar.
Ibunya, Ismaini Ismail, 48, berkata walaupun banyak tertinggal pelajaran dan kadang kala kesakitan yang dialami menghalangnya untuk ke sekolah, namun anaknya cekal dan tidak putus asa menelaah pelajaran.
“Anak saya didiagnos menghidap kanser ketika berumur 7 tahun, dan sekarang Nur Sarah Iman dikategorikan pesakit palatif (tiada rawatan) dan hanya bergantung kepada ubat, untuk mengurangkan kesakitan.
“Dia masuk belajar sekolah biasa darjah 3 pertengahan tahun, dia boleh membaca dan menulis, tapi kita nampak kelemahan anak kita berbanding anak normal lain, jadi doktor buat surat supaya dapat masuk ke sekolah pendidikan khas dan dia seorang yang gigih, tidak jadikan kesakitan itu sebagai halangan,” katanya.
Nur Sarah dan Ikhwan antara 11 orang murid yang menerima penghargaan atas kecemerlangan dalam pelajaran dan kokurikulum.
Mereka merupakan antara 140 anak kanser KIDS, yang menerima bantuan kelengkapan persekolahan dan zakat perbelanjaan sekolah, sumbangan Affin Islamic Bank dan Cagarmas, sempena sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.