Lebih 150 terkandas di Bukit Bendera

Lebih 150 terkandas di Bukit Bendera

Operasi membawa turun mangsa masih berjalan setakat 10 malam tadi dengan sebahagian daripada mereka berjalan kaki menggunakan laluan trek kereta api untuk turun ke stesen bawah.

Lebih 150 pengunjung di Bukit Bendera terkandas apabila kereta api funikular tergendala lebih 2 jam sejak 8 malam. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Lebih 150 pengunjung di Bukit Bendera terkandas apabila perkhidmatan kereta api funikular di pusat pelancongan itu tergendala lebih 2 jam, sejak 8 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurusan Perbadanan Bukit Bendera (PHC) pada 8.26 malam, memaklumkan terdapat penumpang terkandas berikutan masalah perkhidmatan kereta api funikular.

“Kami terima panggilan dari pengurusan PHC memaklumkan seramai 150 orang terperangkap di stesen pertengahan Bukit Bendera, kerana kereta api terkandas dan berikutan itu, sepasukan pegawai serta anggota jentera menjalankan operasi membawa turun mangsa,” katanya malam tadi.

Beliau berkata setakat 10 malam tadi operasi membawa turun mangsa masih dijalankan, dengan sebahagian daripada mereka berjalan kaki menggunakan laluan trek kereta api funikular untuk ke stesen bawah.

Seorang pengunjung yang terkandas, Mohammad Faizal Mohd Fauzi, 37, berkata beliau dan isteri serta 2 anak lelakinya berusia 10 dan 8 tahun terpaksa menggunakan anak tangga di laluan trek kereta api itu untuk turun ke stesen bawah.

Dia sekeluarga yang datang bercuti ke Pulau Pinang naik ke Bukit Bendera sejak pagi semalam hanya dimaklumkan perkhidmatan kereta api funikular itu mengalami masalah oleh pihak pengurusan PHC ketika mahu turun.

“Kami bersama puluhan penumpang lain dengan bantuan pihak bomba, turun menggunakan tangga di trek itu, laluan tersebut sedikit gelap tapi nasib baik ada anggota bomba membantu. Alhamdulillah selepas lebih setengah jam berjalan, kami sampai (di bawah),” katanya.

Sebahagian lagi pengunjung terutama warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dibawa turun menggunakan jip serta pacuan 4 roda.

Sementara itu, PHC dalam kenyataan memohon maaf atas kesulitan yang dialami akibat kereta api funikular tersebut tergendala kerana kerosakan sistem.

“Pasukan operasi funukular PHC sedang bekerja keras bagi mengatasi masalah ini. Pada masa ini, kami membawa pelawat turun bukit menggunakan perkhidmatan jeep. PHC juga sedang menguruskan lebih banyak kenderaan untuk membawa pengunjung turun daripada puncak bukit secepat mungkin,” menurut kenyataan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.